FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing melalui suatu undang-undang khusus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa esok.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu diambil selepas menyedari kesukaran orang ramai memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan dan individu termasuk lesen vokasional (GDL dan PSV) dan lesen memandu atau Competent Driver’s License (CDL).

Katanya, sebelum ini pemegang lesen memandu individu diminta memperbaharui lesen secara atas talian melalui portal mySikap JPJ dan MyEG sepanjang tempoh PKP tetapi dengan pengumuman di atas, syarat keperluan untuk memperbaharui lesen memandu ini dikecualikan.

“Walaupun dengan adanya pengecualian khas ini, pemandu dinasihatkan supaya membawa salinan sijil perlindungan atau insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP.

“Ini bermakna, sesiapa yang mempunyai lesen memandu yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan wajib memiliki perlindungan insurans yang sah.

“Namun begitu, pemegang lesen perlu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ka Siong berkata, isu LKM bagi kenderaan perdagangan dan GDL, ia tidak berbangkit memandangkan keperluan untuk memperbaharui lesen terbabit sudah pun dikecualikan sepanjang tempoh PKP.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful Malaysia.

“Paling penting, ia bertujuan memastikan perkhidmatan pembekalan barangan keperluan khususnya makanan kepada orang ramai tidak terjejas sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Seramai 328 orang pemegang lesen jenis GDL tamat tempoh hari ini, 385 (25 Mac), 356 (26 Mac), 357 (27 Mac), 348 (28 Mac), 315 (29 Mac), 369 (30 Mac) dan 295 orang pada 31 Mac ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 8:34 PM