TAN (dua dari kanan) bersama Leong (kanan) melihat replika projek M Oscar di galeri jualan, semalam.
TAN (dua dari kanan) bersama Leong (kanan) melihat replika projek M Oscar di galeri jualan, semalam.
Nabil Basaruddin


MAH SING Group Bhd (Mah Sing) berharap kerajaan dapat memanjangkan tempoh pembiayaan dari 35 tahun kepada 45 tahun bagi membolehkan pembeli menikmati ansuran pinjaman lebih rendah.

Pengarah Eksekutif Pelaburan dan Korporatnya, Datuk Steven Ng Poh Seng berkata, Mah Sing juga berharap nisbah pembayaran hutang juga dapat ditingkatkan daripada 60 peratus ketika ini kepada 70 hingga 80 peratus untuk pembeli rumah pertama.

Menurutnya, pada kempen pemilikan rumah (HOC) yang kali pertama dianjurkan pada 1999, kerajaan bukan saja menawarkan pengecualian kepada setem duti, malah bank mengurangkan kadar pinjaman.

“Jadi, kami mengharapkan kali ini, kerajaan dapat membenarkan bank untuk mengenakan kadar faedah yang lebih rendah kepada pembeli rumah pertama.

“Selain itu, kos pematuhan yang amat tinggi dikenakan kepada pemaju turut menyukarkan kami untuk membina dan menjual rumah mampu milik.

“Kerajaan diharap dapat menyeragamkan syarat harga jualan kepada pembeli asing yang ketika ini berbeza-beza di setiap negeri,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran galeri jualan M Oscar di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya harapan Mah Sing Group terhadap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan minggu depan.

Pelancaran galeri jualan itu disempurnakan Duta Khas Malaysia Ke China, Tan Kok Wai.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang.

Sementara itu, ketika diminta mengulas hubungan Malaysia-China, Tan berkata, hubungan perdagangan antara Malaysia dan China dijangka terus berkembang dan mampu melebihi AS$100 bilion (RM420 bilion) seperti direkodkan tahun lalu.

Menurutnya, hubungan diplomatik terjalin sejak 45 tahun lalu turut menjadi pemangkin untuk meningkatkan nilai perdagangan antara kedua-dua negara.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:45 AM