Bangunan KWSP
Bangunan KWSP

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27 bilion bagi separuh pertama tahun ini berakhir 30 Jun 2022 (separuh pertama 2022), penurunan sebanyak RM7.06 bilion, atau 21 peratus, berbanding RM34.06 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Ia adalah hasil daripada reaksi pasaran terhadap peningkatan risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan dan inflasi tinggi yang tidak dialami oleh ekonomi utama sejak 1970-an.

Risiko-risiko ini termasuk konflik Ukraine-Rusia yang berlarutan, yang menjejaskan rantaian bekalan global dan menyebabkan harga meningkat; kenaikan kadar inflasi global yang mencecah paras tertinggi dalam beberapa dekad; dan kenaikan kadar faedah secara berperingkat oleh bank-bank pusat, sebahagiannya sebagai respon terhadap kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (the Fed) dan sebahagiannya untuk mengekang tekanan inflasi.

Tidak terkecuali daripada impak pasaran global, jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi suku kedua (S2 2022) adalah RM11.14 bilion, turun sebanyak RM3.63 bilion daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu. Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2022 pada RM4.88 bilion, merangkumi 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun yang dikaji.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jangkaan pertumbuhan global telah terjejas, seterusnya mencetuskan penjualan berterusan dalam pasaran global.

"Aliran menurun yang konsisten ini telah menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP daripada portfolio ekuitinya, terutamanya daripada pasaran global yang telah merosot dalam julat 17 peratus dan 21 peratus dalam separuh pertama 2022.

"Namun, pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza, seperti yang ditetapkan dalam Alokasi Aset Strategik (SAA) telah membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap keadaan pasaran yang tidak menentu di samping melindungi pulangan pelaburan jangka panjangnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada S2 2022, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi 36 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana pendapatan RM5.51 bilion, mewakili 49 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sejumlah RM1.16 bilion daripada RM11.14 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk Simpanan Shariah pada S2 2022, dan RM9.98 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Simpanan Shariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio Syariah dan Konvensional.

Sehingga Jun 2022, aset di bawah pengurusan KWSP ialah RM957.25 bilion, setelah mengambil kira pengeluaran berkaitan pandemik yang berjumlah RM44.6 bilion.

Bagaimanapun, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat kerana caruman yang diterima sebanyak RM43.23 bilion setakat Jun 2022 yang disokong dengan pendapatan daripada pelaburannya.

Dalam pada itu, menurutnya, KWSP mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran tempatan dan percaya pemulihan ekonomi Malaysia akan berterusan untuk baki tahun 2022, berikutan pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua.

"Data ekonomi terkini juga menandakan kemungkinan besar pertumbuhan tahun penuh Malaysia akan berada pada julat lebih tinggi daripada ramalan rasmi 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022.

"Bagaimanapun, KWSP tetap berwaspada terhadap risiko utama yang terus menggugat pasaran dan sentimen pelabur seperti peningkatan tinggi kadar inflasi global, ketegangan geopolitik dan pengetatan dasar monetari.

"Prestasi pasaran masih tidak menentu dan walaupun kami prihatin dengan perkembangan ini, kami mengekalkan pandangan jangka panjang dan mengambil pendekatan yang seimbang dalam keputusan pelaburan kami kerana terdapat banyak peluang yang kami boleh manfaatkan dalam situasi yang mencabar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 5:56 PM