RICHARD Lim (tengah) bersama Gagliardi (kiri) dan Marcantonini pada majlis menandatangani MOC di Chieti, Itali.
RICHARD Lim (tengah) bersama Gagliardi (kiri) dan Marcantonini pada majlis menandatangani MOC di Chieti, Itali.

Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta subsidiari LBS Bina Group Berhad mengumumkan bahawa anak Syarikat milik penuh tidak langsungnya, MGB International for Industry (MGBI) memeterai memorandum kerjasama (MOC) dengan Nordimpianti System S.R.L. (Nordimpiati) dan MCT Itali S.R.L (MCT Itali).

Di bawah terma MOC, MGBI akan meneroka dan bekerjasama dengan kedua-dua Nordimpianti dan MCT Itali berhubung menyelaras, memperhalusi, mengautomasi dan menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan jentera, sekali gus mengoptimumkan operasi untuk menghasilkan produk konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi operasi kilang MGBI di Jeddah, Arab Saudi.

Di samping itu, MGBI berhasrat untuk bekerjasama dengan kedua-dua Nordimpianti dan MCT Itali dari segi perundingan dan latihan untuk mengautomasikan pengeluaran konkrit pratuang dan mengaplikasi Kecerdasan Buatan (AI) bagi membantu di dalam penggunaan teknologi konkrit.

Nordimpianti merupakan salah satu daripada pengeluar mesin dan peralatan terkemuka dunia bagi pengeluaran elemen konkrit prategasan, terutamanya yang digunakan dalam aplikasi pembinaan residensi, sivil, industri dan infrastruktur. Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan rundingan untuk sektor pembinaan.

Sementara itu, MCT Itali adalah syarikat berpengkalan di Itali dengan reputasi mantap di dalam pembekalan loji pratuang dan sistem pengedaran konkrit di seluruh dunia.

Dengan pengalaman lebih 55 tahun, fokus utama MCT Itali adalah teknologi konkrit menerusi kaedah AI yang membolehkan pelanggan mencapai pengeluaran konkrit pratuang dengan efisien, sekali gus meminimumkan ralat operasi serta pembaziran dan mengoptimumkan kos.

Majlis menandatangani MOC itu berlangsung di Chieti, Itali, di mana Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim menandatangani bagi pihak MGB manakala Nordimpianti diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Gian Piero Gagliardi dan MCT Itali diwakili oleh Presidennya, Lamberto Marcantonini.

Majlis turut disaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Wong Tack Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif MGBI, Lau Chee Tat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 12:21 PM