Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
BERNAMA

Putrajaya: Lesen operator di bawah kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) boleh ditarik balik jika gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dalam menyediakan perkhidmatan pembekalan air seperti ditetapkan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara itu termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Beliau berkata pendapatan operator terbabit dijangka meningkat susulan pelarasan tarif air yang berkuat kuasa 1 Februari ini dan hasil itu hendaklah digunakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta menyelesaikan masalah utama bekalan air di negeri masing-masing.

"Ini adalah antara KPI yang ditetapkan oleh SPAN kepada operator termasuk memastikan pembangunan dan menambah baik infrastruktur utama dilaksanakan seperti penggantian paip uzur atau pembinaan loji rawatan air baharu.

"Ini sangat penting sebab kita tidak mahu operator menggunakan (hasil pendapatan) untuk tujuan lain seperti naik taraf yang bukan-bukan," katanya pada sesi bertemu media mengenai pelarasan tarif air di sini semalam.

SPAN hari ini memaklumkan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa pada 1 Februari yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Akmal Nasrullah juga berkata beberapa negeri sudah mengemukakan cadangan kepada pihaknya berhubung usaha menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur supaya dapat menyediakan bekalan air yang lebih berkualiti di tempat masing-masing.

"Ini yang kita tumpukan dalam tempoh dua atau tiga tahun, untuk kita buktikan bila berlaku pelarasan tarif, ada peningkatan dari segi khidmat yang diberikan," katanya.

Beliau berkata susulan pelarasan itu, pihaknya dan SPAN akan meneliti serta mengawal selia semua perkara dari pelbagai sudut agar pembangunan perkhidmatan bekalan air dapat diteruskan dan dilaksana selain mengambil maklum masalah yang dihadapi oleh operator.

"Justeru kita tekankan sekali lagi setiap negeri perlu ada perancangan untuk selesaikan isu secara spesifik... seperti dari aspek menangani pencemaran, respons, gangguan, aduan dan mengatasi gangguan bekalan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:58 AM