MAYBANK. FOTO Arkib NSTP
MAYBANK. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Maybank akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan kecil dan menjangka menyalurkan pembiayaan bernilai kira-kira RM12 bilion kepada segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata, Maybank sentiasa membantu peminjamnya, terutamanya isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan kecil, yang memerlukan bantuan pembayaran balik atas pelbagai sebab.

"Sejak pandemik, Maybank menyediakan bantuan pembayaran balik kepada lebih 430,000 peminjam di Malaysia.

"Ketika ini, Maybank mempunyai kira-kira 52,000 peminjam dalam pelbagai bentuk bantuan pembayaran balik aktif," katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan bank-bank untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan, termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingati industri perbankan bahawa mereka memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pascapandemik, terutamanya dalam membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan mereka.

Khairussaleh berkata, bank itu menyokong sepenuhnya usaha kerajaan ke arah memastikan persekitaran ekonomi yang sihat dan stabil bagi membantu perniagaan dan individu berkembang maju.

Selain itu, Maybank akan terus menyokong pelanggannya dengan memanfaatkan kepakaran perkhidmatan kewangan menyeluruhnya yang diperkuatkan dengan keupayaan digitalnya.

"Platform digital kami pada masa ini menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai segmen pelanggan daripada korporat institusi, PKS hinggalah kepada pengguna runcit, dan kami akan terus mengutamakan segmen ini dalam usaha kami untuk mengembangkan jejak kami di seluruh u," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 10:08 AM