FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bisnes HM


INDIVIDU serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan lanjutan moratorium perlu segera menghubungi bank masing-masing kerana ia memerlukan masa untuk memproses setiap permohonan.

Secara umumnya, bank memerlukan satu hingga lima hari untuk pelanggan individu dan tiga hari hingga dua minggu untuk permohonan PKS.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, setakat 21 Ogos lalu, bank telah menghubungi kira-kira 1,015,848 peminjam yang merangkumi 908,773 individu, 94,685 (PKS) dan 12,390 (syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial) bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan.

"Tarikh berakhirnya moratorium secara automatik berbaki 29 hari saja lagi.

"Dalam tempoh dua minggu bermula 7 Ogos 2020, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dan sebanyak 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan.

"Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan diterima dan 4,300 daripadanya telah mendapat kelulusan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sebagaimana yang telah diumumkan oleh kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, bantuan pembayaran balik pembiayaan merangkumi lanjutan moratorium pembiayaan selama tiga bulan bagi pelanggan individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan; pengurangan ansuran pembiayaan yang sepadan dengan pengurangan gaji pelanggan individu yang terjejas akibat Covid-19 selama sekurang-kurangnya enam bulan, bergantung kepada jenis pembiayaan; dan pembayaran faedah saja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; pemanjangan tempoh keseluruhan pembiayaan bagi mengurangkan bayaran balik bulanan; atau pelepasan lain yang sesuai.

Mohd Shahar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

"Hasil pertemuan saya dengan wakil-wakil bank tempoh hari, saya dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai.

"Bagaimanapun, respons yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

"Saya bimbang sekiranya orang ramai dan PKS menunggu sehingga ke saat akhir untuk memulakan rundingan.

"Saya menggesa orang ramai untuk segera memberi maklum balas atau pergi ke bank masing-masing untuk mengesahkan pakej bantuan bayaran balik pembiayaan yang ditawarkan.

"Ini penting terutamanya bagi peminjam yang masih memerlukan bantuan pascamoratorium, untuk mengelakkan rekod kredit menjadi buruk selepas September 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 5:13 PM