KUALA LUMPUR 28 OGOS 2019. Bank Islam merupakan salah satu anak syarikat BIMB Berhad Holdings. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
KUALA LUMPUR 28 OGOS 2019. Bank Islam merupakan salah satu anak syarikat BIMB Berhad Holdings. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan ciri Kill Switch untuk pelanggan melindungi sendiri dana yang dimiliki daripada penipuan dalam talian.

Ia membolehkan pelanggan menyahaktifkan sementara akses ke akaun Perbankan Internet Bank Islam (IB), aplikasi perbankan GO by Bank Islam (GO) dan GO Biz by Bank Islam (GO Biz) mereka melalui ciri baharu Kill Switch.

Bank Islam dalam kenyataan hari ini berkata, elemen keselamatan baharu itu juga menyekat dengan segera semua transaksi keluar kad debit-i Bank Islam pelanggan.

"Ciri Kill Switch tersedia pada kedua-dua aplikasi perbankan mudah alih dan IB, boleh diakses dengan mengklik butang Kill Switch yang terletak pada halaman utama Perbankan Internet Bank Islam.

"Sementara bagi pelanggan aplikasi mudah alih, mereka akan dibawa ke halaman utama Kill Switch menerusi laman pelayar peranti mereka sebaik sahaja butang Kill Switch diklik pada aplikasi GO atau GO Biz," kata bank berkenaan.

Menurutnya, Bank Islam juga akan melaksanakan Cooling-off Period atau Tempoh Bertenang iaitu tempoh menunggu selama 12 jam untuk sebarang permohonan atau permintaan baharu yang dibuat pada IB, GO dan GO Biz.

"Ciri keselamatan tambahan itu juga disediakan bagi pendaftaran kali pertama IB, GO and GO Biz, pendaftaran semula akaun dan permintaan kata laluan terlupa, perubahan dalam had transaksi, pemautan akaun dan pengaktifan untuk pembelian dalam talian menggunakan Kad Debit-i Bank Islam.

"Ciri ini akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja pelanggan membuat permintaan baharu pada tetapan platform perbankan dalam talian atau mudah alih mereka," katanya.

Objektif utama kemudahan ini adalah untuk melindungi akaun pelanggan daripada

individu yang cuba melakukan transaksi tanpa kebenaran.

"Tempoh bertenang ini memberikan masa tambahan kepada pelanggan untuk bertindak balas dengan sewajarnya apabila mereka menerima pemberitahuan segera atau e-mel mengenai pengubahsuaian yang dibuat pada akaun mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihak Bank prihatin dengan cabaran emosi dan kewangan yang dihadapi pelanggan apabila mereka terkesan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kami akan terus memastikan saluran perbankan dan kaedah pembayaran Bank Islam kekal selamat dan dilengkapi dengan kawalan keselamatan terkini agar memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan," katanya.

Menurutnya, sesetengah ciri keselamatan mungkin mengambil masa bagi pelanggan menyempurnakan transaksi mereka, namun, langkah-langkah ini perlu untuk meminimumkan kehilangan wang akibat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bank Islam telah merekodkan sebanyak 1.79 juta pengguna aktif Perbankan Internet dan kira-kira 1.4 juta pengguna GO by Bank Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 3:03 PM