CHAN (kanan) bersama ahli Lembaga Pengarah melancarkan Kad Debit-i Rafahia. FOTO Sri Ayu Kartika Amri
CHAN (kanan) bersama ahli Lembaga Pengarah melancarkan Kad Debit-i Rafahia. FOTO Sri Ayu Kartika Amri
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM), melancarkan Kad Debit-i Rafahia, kad debit Islam pertama di Malaysia yang disertakan dengan perlindungan takaful bernilai RM1 juta bagi tempoh 12 bulan.

Kad Debit-i Rafahia juga memiliki pelbagai manfaat unik tersendiri yang direka khusus untuk kemudahan perjalanan jemaah haji dan umrah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steven Chan berkata, dengan tambahan perlindungan takaful, pelanggan layak untuk mendapat perlindungan di seluruh dunia sehingga RM500,000 dan peningkatan sekali ganda bagi pelanggan yang mengerjakan haji dan umrah.

"Kad Debit-i Rafahia ini adalah yang pertama di negara ini dan meliputi perlindungan sepanjang tahun, berganda, pemindahan kecemasan, haji badal dan kehilangan bagasi," katanya di majlis pelancaran Kad Debit-i Rafahia Al Rajhi di sini, hari ini.

Pelanggan juga akan menerima pembayaran haji badal sehingga RM8,000 dan menikmati pembayaran sehingga RM1,500 sekiranya berlaku kehilangan bagasi ketika perjalanan.

Setakat ini, Al Rajhi Bank Malaysia mempunyai 24 cawangan di seluruh negara antaranya di sekitar Lembah Klang, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Kedah dan Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 11:53 AM