Pendapatan Petronas merosot 15 peratus.
Pendapatan Petronas merosot 15 peratus.

Kuala Lumpur: Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM23.8 bilion pada suku pertama 2023, naik 2.0 peratus berbanding RM23.4 bilion suku sama tahun sebelumnya.

Namun, berbanding suku keempat 2022, keuntungan bersih syarikat minyak dan gas nasional itu merosot 2.0 peratus.

Pendapatan kumpulan bagi suku dikaji berjumlah RM90.4 bilion, meningkat 16 peratus berbanding RM78.2 bilion pada suku sama 2022.

Bagaimanapun, pendapatan Petronas merosot 15 peratus berbanding RM105.9 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2022.

Memperincikan perkembangan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata prestasi membanggakan yang dicatatkan suku dikaji itu membuktikan komitmen berterusan kumpulan untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil membangunkan penyelesaian untuk masa depan karbon yang lebih rendah, walaupun ketika berdepan dengan persekitaran perniagaan yang semakin kompleks dan tidak menentu.

"Berdasarkan latar belakang ini, Petronas perlu mengambil tindakan yang boleh dipercayai untuk terus menyampaikan nilai yang mampan dalam melaksanakan tanggungjawab kami sebagai syarikat minyak nasional walaupun kami bercita-cita untuk berkembang sebagai pemain tenaga global.

"Kami akan kekal teguh dalam memajukan strategi kami dan kini telah melaksanakan Strategi Pertumbuhan Tiga Serampang kami ke dalam Strategi Peralihan Tenaga Petronas, seterusnya menunjukkan cita-cita kami yang jelas untuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan risiko ketidaktentuan yang berterusan dalam persekitaran perniagaan, Petronas akan mengekalkan prospek berhati-hati untuk 2023.

Kumpulan akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin yang kukuh dalam melabur semula untuk mengukuhkan portfolio perniagaan dan membina daya tahan yang diperlukan dengan penambahbaikan berterusan dalam kecemerlangan komersial dan operasi.

"Melangkah ke hadapan, Petronas akan kekal berwaspada, memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan yang berhemat dan melabur dalam mengukuhkan teras kami dan mengembangkan portfolio perniagaan kami.

"Pada setiap masa, kami akan menyasarkan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang taruh dan rakan kongsi kami, dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia dan masyarakat di mana juga kami beroperasi," kata Tengku Muhammad Taufik.

Petronas berkata, harga minyak dan gas dijangka menyederhana berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan, justeru keuntungan yang lebih rendah dijangka berbanding tahun lalu.

Namun, syarikat minyak dan gas itu tetap komited untuk mengukuhkan aktiviti perniagaannya, sambil meneruskan agenda kelestariannya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Muhammad Taufik berkata, zaman kegemilangan syarikat minyak dan gas mencatatkan keuntungan yang besar sudah berlalu.

Beliau berkata, peralihan dunia ke arah tenaga lebih bersih dan hijau memberi cabaran kepada peserta industri untuk memastikan perniagaan terus kekal relevan pada masa depan.

Katanya, pelaburan perlu dibuat dalam pengeluaran tenaga hijau dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida daripada sumber hidrokarbon sedia ada.

Jelasnya, tempoh sektor minyak dan gas mencatatkan marjin belasan peratus telah berlalu dan digantikan dengan marjin satu digit.

"Dari segi pulangan, ia (marjin) tidak akan menjadi pertengahan belasan (peratus) lagi. Ia masih menguntungkan tetapi ia tidak akan menjadi marjin yang sangat tinggi (seperti yang dicatatkan sebelum ini)," katanya pada taklimat media Petronas bersama pengarang di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut tinjauan prestasi kewangan Petronas bagi 2023, Tengku Muhammad Taufik berkata, prospek keseluruhan bagi 2023 dilihat mencabar dan sukar untuk syarikat minyak dan gas nasional itu mengekalkan prestasi rekod cemerlang yang dicatatkan pada tahun lalu.

Beliau berkata, prestasi cemerlang yang dicatatkan pada 2022 adalah dipacu terutamanya oleh harga minyak yang tinggi dengan purata sekitar lebih AS$100 setong.

Katanya, secara realitinya, harga minyak mentah pada masa sekarang telah jatuh secara ketara berbanding tahun lalu dengan berlegar sekitar AS$81 setong pada suku pertama 2023.

"Apa yang kami lihat setakat ini dan enam bulan lalu, persekitaran operasi menjadi lebih kompleks.

"Bagi keseluruhan 2023, tinjauan adalah mencabar, sekali gus adalah sukar untuk mengulangi mencatatkan keputusan kewangan yang cemerlang dalam sejarah seperti tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:55 PM