TENGKU Muhammad Taufik ketika sidang media pengumuman keputusan kewangan. FOTO Aswadi Alias
TENGKU Muhammad Taufik ketika sidang media pengumuman keputusan kewangan. FOTO Aswadi Alias
Mahanum Abdul Aziz dan Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Petronas mencatatkan kerugian RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dalam tempoh sama 2019.

Ia adalah suku tahunan pertama syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan kerugian sejak suku keempat tahun kewangan 2015.

Kerugian dicatatkan itu berikutan pendapatan yang rendah dan kerugian rosot nilai bersih terhadap aset susulan semakan menurun tinjauan harga minyak yang terjejas oleh permintaan lemah susulan penularan Covid-19 dan keadaan lebihan bekalan dalam pasaran.

Aset jangka panjang termasuk rizab minyak dan gas (O&G) susulan tinjauan harga bahan api yang terjejas.

Pada suku kedua 2020, Petronas mencatatkan pendapatan sebanyak RM34 bilion, rendah 42 peratus berbanding RM59.1 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2019.

Bagi separuh pertama 2020, Petronas mencatatkan kerugian RM16.5 bilion, sementara pendapatannya merosot 23 peratus kepada RM93.6 bilion.

Prestasi itu diumumkan pada sidang media Petronas di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik berkata, dividen Petronas kepada kerajaan tahun ini akan bergantung kepada kemampuan kewangannya susulan prestasi kurang memberangsangkan yang dicatatkan pada separuh pertama 2020.

Katanya, jumlah dividen akan ditentukan semula selepas meneliti prestasi kewangan semasa kumpulan.

Petronas pada awal Februari lalu bercadang memberikan dividen RM24 bilion kepada kerajaan tahun ini.

Pada 2019, Petronas memberikan dividen sebanyak RM54 bilion kepada kerajaan merangkumi dividen biasa RM24 bilion dan dividen khas RM30 bilion.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 6:35 PM