Foto hiasan
Foto hiasan

Kuala Lumpur: Petronas mencatat keuntungan bersih (PAT) RM30.8 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 89 peratus berbanding RM16.3 bilion pada suku sama tahun lalu.

Keuntungan itu daripada pemerolehan pendapatan sebanyak RM99.2 bilion, meningkat 60.5 peratus berbanding RM61.8 bilion pada suku sama tahun lalu.

Pada suku dikaji, ia meraih Margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) berjumlah RM47.5 bilion.

Hasil meningkat 61 peratus kepada RM99.2 bilion, hasil daripada harga yang menggalakkan untuk produk utama dan kesan daripada kadar pertukaran.

"Harga minyak dan gas akan kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh tekanan geopolitik dan ekonomi yang semakin sengit," kata Petronas dalam laporan kewangannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Kumpulan sedang mengambil langkah untuk membuka kunci nilai baharu daripada portfolio terasnya dengan memberi tumpuan kepada penyahkarbonan.

"Petronas juga akan mengejar peluang menarik dalam penyelesaian tenaga yang lebih bersih," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, Kumpulan mencatatkan untung bersih RM77.2 bilion dan EBITDA sebanyak RM130.2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:40 PM