Konsulat Thailand di Malaysia, Chainarong Keratiyutwong (dua dari kanan) melawat gerai yang menyertai acara Think Thailand. - FOTO NSTP
Konsulat Thailand di Malaysia, Chainarong Keratiyutwong (dua dari kanan) melawat gerai yang menyertai acara Think Thailand. - FOTO NSTP
Alzahrin Alias


Petaling Jaya: Malaysia kekal menjadi rakan dagang dan sumber pelaburan utama Thailand terutama pada tempoh pasca pandemik.

Konsulat Thailand di Malaysia, Chainarong Keratiyutwong berkata, Malaysia adalah rakan dagang terbesarnya dalam kalangan negara ASEAN tahun lalu dengan nilai perdagangan AS$24.08 bilion (RM105.1 bilion).

Beliau berkata, nilai perdagangan pada 2021 itu juga antara tertinggi berbanding beberapa tahun sebelum ini, malah ia dijangka terus meningkat pada tahun ini melalui pelbagai agenda dan inisiatif perdagangan dua hala yang telah dirangka.

"Hubungan yang telah lama terjalin antara kedua negara terus diperkukuhkan lagi melalui pelbagai program terutama membabitkan perniagaan di Malaysia dan Thailand.

"Selain itu, Malaysia dan Thailand serta negara ASEAN lain perlu memperkasakan hubungan perdagangan bagi menjadikan rantau ini lebih kukuh dan berdaya tahan di masa hadapan," katanya selepas melancarkan Festival Think Thailand di sini hari ini.

Chainarong berkata, Malaysia juga menjadi negara kedua terbesar dari sudut pelancongan Thailand selepas China pada 2019.

Beliau berkata, ini menjadikan Malaysia negara penting dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara itu yang berdepan dengan kejatuhan disebabkan Covid-19 dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Justeru, katanya, promosi dan tarikan perdagangan perlu terus dilaksana bagi memperkasakan ekonomi kedua-dua negara dan mampu mencapai sasaran perdagangan dua hala AS$30 bilion (RM130 bilion) menjelang 2025.

Mengenai Festival Think Thailand, Chainarong berkata, ia adalah siri promosi perdagangan dan pelancongan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

"Festival ini bermula dengan kerjasama Tropicana Corporation Bhd (Tropicana) bagi penganjuran pertama Think Thailand di pusat beli-belah Tropicana Garden bermula 26 Mei sehingga 6 Jun ini.

"Festival ini bukan saja mempamerkan produk dari Thailand, malah turut membuka peluang kerjasama perniagaan dengan syarikat Malaysia.

"Kami menjangka dapat mencapai RM6 juta jualan sepanjang festival berlangsung. Padanan perniagaan lain yang telah dirancang sepanjang tahun ini juga dijangka dapat mencapai nilai RM30 juta," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tropicana Gardens Mall, Andrew Ashvin berkata, sejak kerajaan melonggarkan banyak kawalan dan mula beralih kepada fasa endemik, rakyat kembali bersedia untuk beriadah dan melakukan aktiviti seperti biasa.

Beliau berkata, disebabkan itu, Festival Think Thailand adalah penting bagi memberikan pelanggan suasana seperti berada di Thailand dan mendapatkan produk dari negara itu.

"Pelanggan Tropicana Gardens Mall akan dapat merasai suasana dan mencuba pelbagai produk termasuk makanan dari Thailand sepanjang festival ini berlangsung.

"Lebih 50 gerai jualan disediakan membabitkan lebih 50 produk eksport dari Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 4:27 PM