NARONG (empat dari kiri) pada sidang media pameran Top Thai Brands 2018, semalam.
NARONG (empat dari kiri) pada sidang media pameran Top Thai Brands 2018, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pameran Top Thai Brands 2018 yang mengetengahkan produk baharu dan inovatif dari negara Thailand dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung termasuk pengimport, pemborong dan wakil jualan.

Top Thai Brands 2018 yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 Ogos depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dianjurkan Kementerian Jabatan Perdagangan Antarabangsa Thailand (DITP).

Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn berkata, Top Thai Brands 2018 adalah platform terbaik untuk memperkenalkan produk Thailand di pasaran Malaysia dan mempertingkatkan lagi jumlah dagangan antara kedua-dua negara.

“Menerusi mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) pada 2015, kedua-dua kerajaan komited untuk mencapai jumlah dagangan sebanyak AS$30 bilion (RM121 bilion) dan kami yakin pameran sebegini akan merancakkan lagi dagangan kedua-dua negara.

“Antara agenda penting pada acara ini ialah sesi pemadanan perniagaan yang dijalankan oleh Forum Perniagaan Global Malaysia dan Thaitrade.com dan kami menjangkakan untuk memperoleh sekurang-kurangnya 500 padanan perniagaan sepanjang sesi berlangsung,” katanya di taklimat media sempena pameran Top Thai Brands 2018 di sini, semalam.

Pameran kali ini menampilkan 100 peserta pameran yang mengambil bahagian berbanding 30 peserta pada tahun lalu yang mewakili pelbagai sektor antaranya makanan dan minuman halal, spa, kesihatan, kecantikan, pembungkusan, produk isi rumah, fesyen, aksesori, pakaian, permainan dan produk haiwan peliharaan.

Sementara itu, Penasihat Komersial Kedutaan Thailand ke Malaysia, Patcha Wutipan berkata, Top Thai Brands 2018 harus dikunjungi oleh mereka yang mencari produk inovatif dan pameran ini juga sangat bermanfaat bagi mereka yang terbabit dalam perkhidmatan makanan dan hospitaliti seperti pemilik katering, restoran dan hotel.

“Sektor yang sentiasa menjadi pilihan pengunjung adalah makanan dan minuman dan dalam pameran tahun ini lebih banyak produk baru bakal ditampilkan oleh peserta yang memenuhi permintaan masyarakat di Malaysia.

“Selain itu, program lain yang wajib disertai pengunjung ialah forum ‘Memanfaatkan Perdagangan dan Peluang Pelaburan dengan Thailand’ pada 10 Ogos. Forum itu menyediakan maklumat penting kepada komuniti perniagaan Malaysia mengenai cara merebut peluang perniagaan dengan memanfaatkan kekuatan Thailand dari segi kreativiti produk dan perkhidmatan serta insentif pelaburan,” katanya.

Top Thai Brands 2018 dibuka pada jam 10 pagi hingga 6 petang dan masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 12:00 PM