KAPAL Pengawal Pantai China bernombor 3305 melakukan gerakan jarak dekat di kawasan kira-kira 19.2 meter ke arah kapal Filipina BRP Malabrigo di Bajo de Masinloc. FOTO PCG
KAPAL Pengawal Pantai China bernombor 3305 melakukan gerakan jarak dekat di kawasan kira-kira 19.2 meter ke arah kapal Filipina BRP Malabrigo di Bajo de Masinloc. FOTO PCG
Reuters

Manila: Sebuah kapal Pegawal Pantai China (CCG) dipercayai menceroboh masuk perairan Filipina di Laut China Selatan.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) melaporkan insiden pergerakan jarak dekat oleh kapal CCG di Laut China Selatan yang menghalang kapal Filipina daripada belayar berdekatan.

Insiden pada 2 Mac itu berlaku ketika operasi rondaan maritim Filipina di sekitar Scarborough Shoal, yang dikenali di Filipina sebagai Bajo de Masinloc, kata PCG dalam satu kenyataan media.

Masih tidak jelas sama ada Filipina sudah membuat bantahan diplomatik untuk insiden itu.

PCG berkata, mereka perlu menunggu isyarat daripada Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Laut Filipina Barat sebelum mendedahkan kejadian itu kepada umum.

Insiden itu membabitkan kapal Pengawal Pantai China bernombor 3305 yang melakukan gerakan jarak dekat di kawasan kira-kira 19.2 meter ke arah kapal Filipina BRP Malabrigo, kata PCG.

"Ini mengekang ruang pergerakan BRP Malabrigo, satu pelanggaran yang jelas terhadap Peraturan Antarabangsa 1972 untuk Mencegah Perlanggaran di Laut (COLREGS)," kata PCG.

"PCG meminta Jabatan Hal Ehwal Luar Negara untuk membantu menangani isu ini melalui pendekatan berasaskan peraturan dan aman," menurut komandan PCG, Laksamana Artemio Abu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 7:15 AM