Sue Ling (belakang, baju merah) bersama pengurusan pusat beli-belah Queensbay bersama kanak-kanak yang diraikan.
Sue Ling (belakang, baju merah) bersama pengurusan pusat beli-belah Queensbay bersama kanak-kanak yang diraikan.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bahagian Central Atrium pusat beli-belah Queensbay dihias indah berwarna-warni bercirikan halaman istana Melayu sempena meraikan kedatangan Aidilfitri.

Bertemakan Senandung Aidilfitri, pelbagai aktiviti persembahan turut dirangka bagi menyambut pengunjung yang datang.

Alunan muzik gamelan berkumandang saat pengunjung menjejak kaki ke pusat beli-belah berkenaan.

Pengurus Pusat, Lee Sue Ling berkata, ciri halaman istana Melayu dipilih bagi mewakili perayaan kumpulan elit Melayu zaman dahulu.

"Kami mencipta halaman di Central Atrium ini seperti istana yang lengkap dengan hasil kerja terperinci serta mencerminkan budaya Melayu Diraja pada masa lalu.

"Di halaman ini juga diadakan persembahan gamelan dan tarian Melayu yang memukau sepanjang bulan menjelang 1 Syawal," katanya.

Antara yang bakal berlangsung menjelang Aidilfitri ialah persembahan tarian Mak Yong, Ulek Mayang, persembahan Gamelan Wangsa Mutiara.

Selain itu, ia turut menampilkan tarian joget, persembahan Boria Tanjung dan tarian Canggung selain permainan tradisional iaitu lompat ketingting, congkak dan batu seremban.

Terdahulu Sue Ling ditemui pada majlis pelancaran Senandung Aidilfitri yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Pusat Beli-belah, Peter Chan dan Ketua Peruncitan, Selina Ng.

Pada majlis itu, seramai 30 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang Zakat Pulau Pinang (ZPP) turut menerima sumbangan sebanyak RM3,000 daripada pusat beli-belah Queensbay serta beg cenderahati daripada Aeon dan Popular sementara McDonald's pula menaja majlis berbuka puasa kanak-kanak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 1:07 PM