PUSAT beli-belah Subang Parade dihias cantik dengan konsep songket dan batik.
PUSAT beli-belah Subang Parade dihias cantik dengan konsep songket dan batik.
Siti Nadirah Hafidzin

Pusat beli-belah Subang Parade mengalu-alukan kedatangan pelanggan bagi memeriahkan kempen istimewa sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri yang bertemakan batik dan songket.

Kempen menarik yang sedang berlangsung sehingga 2 Julai depan membawakan slogan ‘Seindah Jalinan Tradisi Yang Mengeratkan Dua Generasi’ memberi pelbagai kemeriahan dan aktiviti menarik buat pelanggan.

Untuk mengangkat dan menyerlahkan keistimewaan warisan negara itu, elemen batik dan songket digunakan untuk menghias bazar. Kempen ini menampilkan barisan vendor pelbagai koleksi antaranya koleksi busana hari raya, barang kemas dan pelbagai kuih-muih Aidilfitri.

Kawasan atrium utama pusat beli-belah itu dihias indah bagi membangkitkan suasana Aidilfitri sekali gus mengalu-alukan kedatangan pelanggan untuk mendapatkan keperluan mereka dalam suasana meriah.

Pelanggan juga berpeluang merakam saat terbaik bersama keluarga di pusat beli-belah itu dengan berkongsi foto menarik di laman sosial Facebook Subang Parade.

Pertunjukan fesyen Aidilfitri yang mengetengahkan pereka fesyen tempatan seperti Ash & Anas, Arma Atelier dan Aura oleh Lin Azlin turut diadakan ini bagi merancakkan lagi suasana kempen.

Selain itu, turut diadakan pelbagai persembahan seperti tarian tradisional Melayu, muzik kontemporari Melayu, gamelan dan penampilan khas oleh bintang YouTube Daiyan Trisha, Lisa Mel Mohsen serta Sachie Amira.

Menurut Pengurus Besar Subang Parade Amos Chew, pihaknya berusaha memberi pengalaman beli-belah menarik sempena kedatangan musim perayaan dengan mengadakan pelbagai acara mengujakan.

“Tema yang kami bawakan tahun ini diharap dapat merapatkan hubungan di antara dua generasi. Kami mahu pengunjung yang datang bersama keluarga ke sini meluangkan masa menyertai pelbagai acara menarik di samping membeli-belah.

“Dalam pada itu, sempena bulan mulia ini, kami turut menjalankan program amal dengan membawa 15 kanak-kanak dari Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari untuk berbuka puasa,” katanya.

Malah Subang Parade turut bekerjasama dengan Grabcar untuk memberikan pelanggan peluang menikmati promosi hebat. Promosi itu hanya sah untuk menurunkan dan mengambil penumpang di Subang Parade dan ia tertakluk kepada terma dan syarat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 3:00 AM