ALAN Ni (empat dari kiri) bersama wakil syarikat insurans dan takaful yang mengambil bahagian. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
ALAN Ni (empat dari kiri) bersama wakil syarikat insurans dan takaful yang mengambil bahagian. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Sri Ayu Kartika Amri


KUMPULAN Touch 'n Go melalui TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch 'n Go eWallet, optimis untuk menjadi hab sehenti bagi produk insurans menerusi pengenalan platform terbarunya, GOprotect.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, melalui GOprotect pihaknya menyasarkan untuk mempunyai 2.5 juta pemegang polisi insurans.

Katanya, Touch 'n Go eWallet mencatatkan lebih dua juta polisi yang dikeluarkan sejak pelancaran produk insurans pertamanya pada Julai 2021.

"Pada 2022 sahaja, kami berjaya mengeluarkan 1.5 juta polisi dan kami merancang untuk menggandakan bilangan polisi tahun ini terutama dengan pengenalan GOprotect.

"Kami akan terus meningkatkan penembusan insurans keseluruhan, terutamanya dalam kalangan kumpulan B40, yang masih sangat rendah iaitu hanya 30 peratus.

"Menerusi kerjasama rapat dengan rakan kongsi insurans kami yang dipercayai, Touch 'n Go eWallet akan memperkenalkan lebih banyak produk insurans yang memberi nilai tambah kepada mereka yang mencari insurans harga mampu milik dan perlindungan terbaik," katanya di majlis pelancaran GOprotect di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Ketua Perkhidmatan Kewangannya, Desmond Teoh.

GOprotect, platform di mana penggunanya boleh membeli pelbagai jenis tawaran insurans dengan mudah melalui aplikasi eWallet.

GOprotect kini menampilkan enam produk insurans yang tersedia pada aplikasi eWallet iaitu, WalletSafe, SafeTrip, Safe Home, Carlnsure, CI Insure dan Motolnsure untuk menampung pelbagai keperluan pelanggan.

Dengan GOprotect, pengguna Touch 'n Go eWallet boleh membeli pelan insurans dalam masa kurang tiga minit selepas membandingkan sebut harga daripada rakan kongsi insurans terkemuka seperti AIA Malaysia, Allianz, Etiqa, MSIG, Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia dan Zurich Takaful.

Pengguna juga dijamin proses tuntutan tanpa kerumitan melalui talian hotline tuntutan syarikat insurans 24 jam.

Terdapat faedah tambahan dalam membeli pelan insurans dengan Touch 'n Go eWallet di mana bermula dari hanya RM1 untuk enam bulan, pengguna boleh mendapatkan perlindungan diri mereka dengan WalletSafe, sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau Covid-19, pemegang polisi akan dibayar sehingga 10 kali ganda jumlah baki, dengan maksimum RM25,000 dalam Touch 'n Go eWallet dan baki GO+.

Sehingga 31 Mei 2023, Touch 'n Go eWallet akan memberikan pulangan tunai 100 peratus kepada enam pemenang bertuah setiap hari apabila mereka membeli sebarang produk insurans melalui eWallet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 6:15 AM