ANWAR menghadiri Forum Bisnes Malaysia - China di Beijing pada 1 April lalu.
ANWAR menghadiri Forum Bisnes Malaysia - China di Beijing pada 1 April lalu.

MISI perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ke China berjaya menjana potensi nilai eksport RM3.2 bilion, meningkat berbanding RM2.44 bilion yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nilai potensi eksport itu disumbangkan oleh beberapa sektor ekonomi negara seperti sektor perladangan, kelapa sawit serta elektrik dan elektronik (E&E).

"Ini adalah satu pencapaian yang agak memberangsangkan untuk peniaga kita khususnya syarikat Malaysia yang ingin mengeksport ke luar negara, terutama China," katanya pada Program Ihya Ramadan anjuran Yayasan TZA & Skuad Kasih Miti kelmarin.

Beliau berkata, peningkatan eksport berlaku apabila misi terbabit diteruskan ke Hong Kong, yang mana Press Metal Aluminium Holdings Bhd mendapat komitmen daripada syarikat negara itu untuk membeli hasil aluminium mereka.

Pada 4 April lalu, Press Metal memeterai jualan eksport segera jongkong aluminium bernilai RM110 juta dengan Daching Enterprises Ltd (Daching) dari Hong Kong, selain menandatangani janji niaga eksport selama lima tahun bagi produk yang sama bernilai RM670 juta.

"Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya ke China, kami teruskan misi ke Hong Kong dan memperoleh komitmen tambahan dari China dan Hong Kong," katanya.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke China dari 29 Mac hingga 1 April lalu juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi iaitu bernilai RM170 bilion.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaaan melalui Miti dan agensi berkaitan akan melakukan pemantauan dalam merealisasikan potensi pelaburan dan perdagangan yang diterima dari China.

"Kami juga melaporkan kepada Kabinet mengenai pelaburan yang sudah dikenal pasti dan setiap suku tahun, kami membuat pengumuman mengenai pelaburan yang sudah direalisasikan dan diberi komitmen," katanya.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada tahun lalu nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.

Manakala Hong Kong kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia, dengan perdagangan melepasi nilai RM100 bilion buat kali pertama tahun lalu iaitu mencecah RM113.20 bilion, terdiri daripada eksport yang bernilai RM95.60 bilion dan import bernilai RM17.60 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 7:10 AM