ZAFRUL Tengku Abdul. FOTO Hazreen Mohamad
ZAFRUL Tengku Abdul. FOTO Hazreen Mohamad
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Semua memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dengan China sebelum ini, dinilai dan ditapis terlebih dahulu secara komprehensif serta telus oleh Jawatankuasa Penilaian MoU yang dianggotai beberapa kementerian serta agensi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penilaian itu termasuk membabitkan penelitian implikasi MoU terhadap dasar luar negara, memastikan syarikat tidak disenarai hitam oleh Kementerian Kewangan (MOF) serta impaknya dalam aspek perdagangan dan pelaburan negara.

Atas dasar itu beliau berkata, selepas penelitian yang dibuat secara komprehensif itu, terdapat juga beberapa MoU yang ditandatangani, ditolak jawatankuasa terbabit berikutan ia tidak memenuhi kriteria selain tidak membawa faedah ekonomi yang signifikan kepada negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain MOF, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Kementerian Luar yang akan meneliti implikasi perjanjian terhadap dasar luar negara.

"Sebarang MoU membabitkan syarikat Malaysia dan negara asing yang bakal disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dinilai terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Penilaian MoU.

"Selain MOF dan Kementerian Luar, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pula akan mengambil kira faedah yang diperoleh terhadap aspek perdagangan negara, manakala Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meneliti dalam aspek pelaburan negara.

"Tanggungjawab MITI pula menganalisa kekuatan kewangan syarikat tempatan yang terbabit dengan MoU itu, sementara pejabat undang-undang MITI akan memastikan perjanjian tidak akan memberi sebarang implikasi buruk terhadap kerajaan," katanya melalui media sosial di sini.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan terhadap isu dibangkitkan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung persoalan mengenai status beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani MoU bersama syarikat China ketika lawatan Perdana Menteri ke negara itu sebelum ini yang disifatkan beliau tidak mempunyai rekod pencapaian yang mencukupi.

Melalui sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin lalu, bekas Menteri Kewangan II itu meminta MITI atau MIDA memperjelaskan sama ada proses tapisan dilakukan terlebih dahulu terhadap semua syarikat yang terbabit dalam MoU dengan nilai keseluruhan RM170 bilion itu.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, selepas selesai penilaian, syarikat tempatan yang terbabit akan dimaklumkan sama ada permohonan mereka diterima atau ditolak yang mana keseluruhan proses penilaian ini memang diguna pakai sejak dahulu lagi.

"Kita juga kena ingat MoU ini adalah antara perniagaan dengan perniagaan, kalau kita ada syarikat dan kita ingin membuat kerjasama dengan syarikat tempatan lain pun mesti kita tapis dulu latar belakang syarikat lagi satu.

"Inikan pula hendak buat kerjasama dengan syarikat asing dengan nilai projek yang cecah bilion ringgit, lagilah kena periksa sebab kalau perniagaan tak jadi, yang rugi nanti syarikat kita, bukan kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa jumlah RM170 bilion bukan hanya nilai MoU semata-semata, namun ia membabitkan dua komponen iaitu RM100.33 bilion adalah komitmen pelaburan daripada syarikat terkemuka China semasa sesi meja bulat yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Beliau berkata, komponen kedua pula ialah komitmen pelaburan dan kerjasama ekonomi membabitkan 19 MoU perniagaan dengan perniagaan antara syarikat Malaysia dan syarikat China bernilai RM69.74 bilion.

"Jadi bukan semua komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion itu adalah daripada MoU...saya perlu menjelaskannya di sini kerana ia boleh mengundang persepsi negatif kepada hasil lawatan Perdana Menteri ke China sebelum ini," katanya.

Akhir Mac lalu, Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke China bagi bertemu pemimpin utama negara itu serta pelabur dan tokoh korporat utama China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 12:49 PM