PANASONIC Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) berada di landasan tepat untuk meningkatkan penguasaan pasarannya untuk produk vakum kepada 14 peratus tahun ini yang disokong dengan pengenalan rangkaian siri Pembersih Hampagas Hos Pejal Tanpa Wayar Buatan Jepun dengan Teknologi Float-Lite.

Pengarah Besarnya, Shinichi Tsuda berkata, buat masa ini Panasonic menguasai 12 peratus pasaran vakum membabitkan jumlah 200 juta unit vakum pelbagai jenama yang terjual di seluruh Malaysia pada 2022.

Katanya, permintaan untuk produk vakum pemegang Panasonic tanpa wayar semakin tinggi dan sejak pandemik Covid-19, kesedaran orang ramai mengutamakan kebersihan turut meningkat.

"Panasonic merekodkan pertumbuhan kukuh dari segi jualan produk vakum sejak pandemik dan disebabkan itu, Panasonic lebih memfokus kepada kesihatan, kebersihan dan kemudahan memberi inspirasi kepada inovasi perkakasan rumah.

"Panasonic juga melancarkan rangkaian siri Pembersih Hampagas Hos Pejal Tanpa Wayar Buatan Jepun yang diperluas dengan dua model paling ringan (MC-SB33J dan MC-SB53K) terkini direka untuk menjadikan pembersihan lebih mudah dan bebas tekanan minda.

"Ini berikutan pelancaran Pembersih Hampagas Hos Pejal Tanpa Wayar Bebas Kusut (MC-SB85K) yang dilancarkan tepat setahun lalu sangat popular dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak dan haiwan peliharaan berbulu," katanya pada majlis pelancaran model baharu vakum Panasonic di sini, semalam.

Ciri utama model MC-SB33J dan MC-SB53K baharu menggabungkan Teknologi Float-Lite Panasonic dengan ciri pembersihan lantai fleksibel 360 darjah yang menjadikannya mudah dan efisien untuk bergerak ke sudut dan ruang sempit.

Pembersih hampagas ini juga menampilkan pemegang ergonomik baharu yang dimajukan dengan 840 paten, untuk memastikan cengkaman selesa dan navigasi mudah.

Dengan berat hanya 1.3 kilogram, Pembersih Hampagas Panasonic MC-SB33J mungkin ringan, tetapi boleh melakukan pelbagai fungsi dan mudah diangkat untuk membersihkan ruang tinggi.

Dua model Pembersih Hampagas Tanpa Wayar Panasonic baharu, MC-SB33J (RM1,349), MC-SB53K (RM1,699) dan MC-SB85K (RM2,799) tersedia untuk pembelian di semua pengedar sah Panasonic serta pasaran dan platform dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 7:00 AM