MATSUNAGA menunjukkan Panasonic Air Purifier.
MATSUNAGA menunjukkan Panasonic Air Purifier.

Petaling Jaya: Panasonic Malaysia menjangkakan pengenalan dua model pembersih udara baru iaitu F-VXK70 dan penjana Nanoe kereta F-GMG01 akan membantu syarikat untuk meningkatkan penguasaan pasaran segmen terbabit lebih baik pada tahun depan berbanding 23 peratus pada masa ini.

Pengarah Urusannya, Yosuke Matsunaga berkata, beliau yakin peningkatan peratusan terbabit akan didorong berdasarkan kepada ciri-ciri terbaru produk terbabit yang dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Nanoe, Econavi, Megacatcher dan Humidification.

“Kami menyasarkan jualan sebanyak 800 unit pembersih udara F-VXK70 setiap bulan sekali gus membantu mencapai sasaran jualan keseluruhan sebanyak 10,000 unit pembersih udara pelbagai model pada tahun ini dan 12,000 unit tahun depan,” katanya pada sidang media bersempena demonstrasi produk pembersih udara terbaru Panasonic, semalam.

Ia menyaksikan Panasonic memperkenalkan dua model terbaru iaitu F-VXK70 yang disasarkan kepada keluarga yang memiliki kanak-kanak kecil atau bayi serta penjana Nanoe kereta F-GMG01 khusus untuk membersihkan udara di dalam kereta.

Beliau berkata, Panasonic berhasrat untuk mewujudkan akses kepada keluarga untuk menikmati udara segar sama ada di rumah atau kereta dengan kualiti udara di luar adalah penting kepada setiap individu bagi menjalani kehidupan yang sihat.

“Setiap individu berhak untuk menikmati kualiti udara lebih baik di mana pengenalan dua model baru ini diharap dapat membantu dalam menyediakan penyelesaian udara bersih bagi rakyat di negara ini,” katanya.

Kedua-dua produk terbabit kini sudah berada di pasaran seluruh negara di mana harga jualan runcit ditetapkan untuk pembersih udara F-VXK70 adalah RM1,899 manakala penjana Nanoe kereta F-GMG01 (RM399).

Sehingga kini, Panasonic Malaysia menawarkan enam model produk pembersih udara iaitu F-PXH55, F-PXF35, F-PXJ30, F-VXK70, F-VXH50, F-VXF35 dan penjana Nanoe kereta F-GMG01.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 8:37 AM