Arthur menjawab soalan di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
Arthur menjawab soalan di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sektor pembuatan dan pertanian antara penyumbang utama dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara ketika penularan Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

Menurutnya, sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah 57.7 peratus pada 2019 diikuti pembuatan (22.3 peratus), pertanian, perlombongan dan penkuarian (7.1 peratus) dan pembinaan (4.7 peratus).

"Bagaimanapun, kadar penguncupan itu lebih rendah berbanding suku kedua tahun ini dan kerajaan yakin kesan penyederhanaan pertumbuhan ekonomi ini bersifat sementara sahaja.

"Beberapa indikator yang terkini mula menunjukkan prestasi ekonomi negara semakin bertambah baik.

"Indeks pengeluaran sektor pembuatan meningkat 2.1 peratus pada September lalu berbanding penguncupan 2.1 peratus pada Ogos.

"Harga minyak sawit mentah kembali mencecah paras melebihi RM3,000 per tan pada November iaitu berharga RM3,422 per tan berbanding paras terendah RM2,074 per tan pada Mei lalu. Harga getah SMR20 pula meningkat RM6.33 sekilogram pada November berbanding RM4.73 sekilogram pada April," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Arthur menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang bertanya kedudukan sektor yang menyumbang pertumbuhan ekonomi negara semasa Covid-19.

Beliau berkata, ekonomi negara dijangka pulih pada tahun hadapan dengan anggaran pertumbuhan antara 6.5 sehingga 7.5 peratus.

Katanya, ia adalah seiring unjuran pertumbuhan oleh Tabung kewangan dunia (IMF) sebanyak 7.8 peatus dan Bank Dunia sebanyak 6.3 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 11:02 AM