GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Negara-negara Asean perlu memperbaiki Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dengan memasukkan peruntukan berkaitan hukuman ke atas pihak yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana di bawah perjanjian sedia ada, tidak ada tindakan 'punitif' atau hukuman boleh diambil ke atas syarikat atau negara yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Katanya, kerajaan juga akan terus mengkaji penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang dilihat berdepan beberapa kekangan buat masa ini.

"Saya setuju bergerak ke depan, mungkin kita perlu dalam kalangan negara Asean perbaiki AATHP tersebut.

"Kalau kita nak naik satu taraf lagi, kita kena lihat sebagaimana saya sebut Perjanjian Kualiti Udara Kanada-Amerika Syarikat (Canada-US Air Quality Agreement).

"Kerana di bawah perjanjian Asean sedia ada, tidak ada tindakan punitif yang boleh diambil ke atas syarikat atau negara yang menyebabkan jerebu rentas sempadan," katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai akta sedia ada mampu dikuatkuasakan kepada negara jiran akibat tindakan mereka yang memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia dalam isu jerebu diakibatkan oleh pembakaran terbuka di Sumatera.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pihaknya turut mengingatkan syarikat Malaysia yang beroperasi di negara jiran bahawa kerajaan tidak akan mempertahankan mereka.

"Kita tidak akan mempertahankan mana-mana syarikat perladangan Malaysia sekiranya mereka terbabit dalam pembakaran terbuka di negara Indonesia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 12:33 PM