HOCK San
HOCK San

MGB Berhad (MGB) mengumumkan anak syarikatnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd menerima surat lantikan bernilai RM167.75 juta daripada RDC Arkitek (KL) Sdn Bhd bagi pihak Johan Anggun Sdn Bhd untuk projek pembangunan di Genting Highlands dan daerah Bentong, Pahang.

Kontrak ini membabitkan pembinaan pangsapuri perkhidmatan 28 tingkat, bermula dari tingkat 9 ke 36 dan kemudahan yang bermula di tingkat lapan, dengan tujuh tingkat tempat letak kereta dari tingkat 1 ke 7, satu aras kemudahan dengan ruang lobi serta dua tingkat tempat letak kereta aras bawah di LG2 dan LG1, meliputi kawasan seluas 2.30 ekar tanah di sebahagian Lot 15360 Genting Highlands.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, dengan kontrak ini, buku pesanan pembinaan Kumpulan meningkat kepada RM1.22 bilion dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM1.26 bilion.

"Ini penutup positif untuk 2023. Berdasarkan keputusan memberangsangkan setakat ini, kami jangkakan permulaan baik bagi 2024 di samping perkembangan kukuh dalam segmen pembinaan dan pembangunan hartanah," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, MGB terus meningkatkan kepakaran baru dan memperhalusi kaedah untuk meningkatkan kualiti serta mempelbagaikan penggunaan produk konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS).

"IBS kekal sebagai komponen penting dan teras dalam perniagaan kami yang dimanfaatkan untuk mendapatkan projek baharu.

"Di sebalik keperluan dan permintaan industri pembinaan dan pembangunan hartanah yang sentiasa berubah, kami kekal optimis dalam memenuhi keperluan pelanggan sekaligus menjadi peneraju bagi industri berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 7:01 AM