KENAIKAN kadar inflasi negara bukan disebabkan oleh permintaan tinggi tetapi lebih disebabkan peningkatan harga barang yang dibekalkan.ak dua minggu lalu dan memberi tekanan kepada peniaga serta pengguna. STR/GHAZALI KORI
KENAIKAN kadar inflasi negara bukan disebabkan oleh permintaan tinggi tetapi lebih disebabkan peningkatan harga barang yang dibekalkan.ak dua minggu lalu dan memberi tekanan kepada peniaga serta pengguna. STR/GHAZALI KORI
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kenaikan harga barang dan kos sara hidup sama ada di bandar dan di luar bandar akan terus menjadi cabaran sepanjang 2023.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dijangkakan inflasi di Malaysia akan berada sekitar 4.0 ke 5.0 peratus, tahun ini.

Katanya, ini berikutan banyak harga barang yang diimport masuk ke Malaysia terutamanya barang makanan.

"Kenaikan kadar inflasi negara bukan disebabkan oleh permintaan tinggi tetapi lebih disebabkan peningkatan harga barang yang dibekalkan. Boleh dikatakan peningkatan permintaan hanyalah sedikit berikutan pembukaan ekonomi fasa endemik ini.

"Tambahan pula kelemahan Ringgit Malaysia yang berada pada RM4.42 sekarang berbanding hanya pada RM4.18 (Disember 2021) turut memberi kesan berganda kepada barangan yang diimport.

"Kadar inflasi negara serantau juga tidak menunjukkan kenaikan terbabit akan mereda, malah ketidaktentuan ekonomi global yang dijangka memasuki kemelesetan tahun ini terus memberikan tekanan kepada negara yang mengamalkan ekonomi terbuka seperti Malaysia," katanya.

Beliau berkata, impak kadar inflasi ini pastinya akan memberi tekanan kepada kehidupan rakyat.

Menurutnya, kenaikan harga barang dan kos sara hidup akan terus menjadi cabaran 2023.

"Sukar untuk mengunjurkan bilakah kenaikan harga barang akan kembali stabil berikutan isu kemelesetan ekonomi global.

"Bagaimanapun, kerajaan sepatutnya mencerakin setiap rangkaian bekalan nilai bagi setiap barangan kerana setiap satunya mempunyai kaedah perdagangan yang berbeza dan mempunyai pemain industri berbagai," katanya.

Beliau menjelaskan, secara jangka pendek, kawalan kepada kadar inflasi hanyalah melalui kerajaan mengawal harga barang secara tepat melalui subsidi.

"Tetapi secara jangka panjang, agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membangunkan sektor pertanian.

"Kita patut belajar dan mencontohi Thailand yang begitu berjaya dengan 38 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka disumbangkan oleh industri pertanian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 7:10 AM