Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan yang bakal menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) haruslah kuat dan stabil apabila unjuran ekonomi negara dijangka akan lebih mencabar pada 2023 berikutan jangkaan kemelesetan ekonomi global.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelbagai badan penilai dan konsultan mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang lebih sederhana pada 4.0 peratus sahaja, tahun hadapan.

Katanya, untuk kembali memulihkan ekonomi negara tahun hadapan dan tahun berikutnya, ekonomi domestik perlu terus dipertingkatkan.

"Pelbagai persoalan yang perlu diselesaikan antaranya cabaran ekonomi iaitu kadar inflasi yang tinggi dihadapi rakyat terutama golongan B40 dan M40. Bagaimana menstabilkan harga barangan utama? Apatah lagi dengan subsidi tinggi yang diberikan oleh kerajaan memberi kesan kepada perbelanjaan negara untuk jangka panjang.

"Selain itu, cadangan penyelesaian subsidi bersasar yang interaktif menggunakan teknologi perlu diberi penekanan bagi mengelakkan pembaziran wang negara. Ini terutama seberapa cepat proses ini boleh dilaksanakan terutama subsidi bahan api dan minyak masak yang menjadi jumlah terbesar dalam subsidi kerajaan," katanya.

Beliau berkata, usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan mencipta peluang pekerjaan kepada golongan muda yang baru tamat pembelajaran di institusi pengajian tinggi juga menjadi cabaran kepada kerajaan baharu.

Katanya, lepasan berkenaan kini menghadapi masalah underemployment, iaitu bekerja di jawatan yang tidak sesuai dengan kelulusan pengajian, malah lebih rendah berbanding kelayakan akademik.

"Gaji pemegang diploma dan ijazah juga amat rendah dan masih seperti kadar pada dekad yang lalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan yang bakal ditubuhkan untuk menggalakkan syarikat tempatan untuk melabur dalam teknologi serta mewujudkan budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti yang diterapkan dalam budaya industri di China, Korea Selatan dan Jepun.

"Kita tidak boleh bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) sahaja untuk membawa pemindahan teknologi ke negara kita kerana mereka mementingkan hak cipta dan hanya mahu mengeksploit sumber tenaga kerja negara yang murah ataupun komoditi mahupun sumber dari negara kita sahaja," katanya.

Beliau berkata, kerajaan baharu itu juga perlu berani membuat perubahan struktur ekonomi negara iaitu berhenti daripada bergantung kepada pekerja asing yang bekerja di kilang dan ladang yang dioperasi hanya pada kos yang murah sahaja.

"Cadangannya adalah dengan memberikan insentif kepada syarikat tempatan dan asing yang berjaya mengurangkan bilangan pekerja asing dengan potongan cukai dan digandakan sekiranya berjaya menggantikannya dengan pekerja tempatan," katanya.

Pada masa sama, kerajaan baharu itu perlu menguatkan kembali mata wang ringgit dan menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) semula bagi memastikan ekonomi domestik kembali kuat dan memperkasakan ekonomi tahun 2023 yang dijangka mencabar dengan kemelesetan ekonomi dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 7:00 AM