BYD Dolphin.
BYD Dolphin.
Lizam Ridzuan


Petaling Jaya: Sime Darby Motors, pengedar utama kenderaan elektrik (EV) BYD melancarkan model terbaharu Dolphin ke dalam pasaran tempatan menerusi dua varian iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Jeffri Salim Davidson berkata ia adalah model kedua diperkenalkan di Malaysia selepas BYD Atto 3 pada hujung tahun lalu.

"Model hatchback ini dilengkapi ciri termaju dengan Bateri Blade, e-platform 3.0 dan yang pertama di dunia untuk pengeluaran dengan trenkuasa elektrik 8 dalam 1.

"Ia juga dilengkapi rekaan sofistikated seperti ciri lampu utama LED merentasi gril hadapan serta lampu belakang gaya geometrik dan pemegang tangan bentuk mirip sirip menyerlahkan perincian," katanya pada majlis pelancaran hari ini.

Model ini turut dilengkapi ruang kabin dengan skrin sesentuh teknologi pintar bersaiz 12.8 inci dan untuk varian extended yang disertakan pengecas tanpa wayar dan bumbung panorama.

Ia juga didatangkan dengan enam beg keselamatan dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

Menerusi pengecasan penuh ia mampu mencapai jarak sehingga 490 km dan pecutan sifar ke 100km/j dalam tempoh tujuh saat dengan kuasa 70kW hingga 150kw dan tork sehingga 310Nm daripada bateri 44.9kWj dan 60.48kWj.

Untuk pasaran Malaysia BYD Dolphin ditawarkan pada harga RM99,900 untuk Dynamic Standard Range dan RM124,900 (Premium Extended Range).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 4:58 PM