KETUA Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols
KETUA Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols

NESTLÉ (Malaysia) Berhad meneruskan momentum pertumbuhan lebih kukuh dengan mencatatkan hasil dan keuntungan lebih tinggi untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2022, berbanding sembilan bulan pertama 2021.

Prestasi ini dipacu oleh jualan tempatan dan eksport lebih kukuh serta pemulihan berterusan saluran di luar rumah (OOH) dan tahap penggunaan di rumah yang mantap.

Kumpulan mengalami sedikit penyusutan margin pada suku ketiga akibat kenaikan harga komoditi dan ketidakstabilan pasaran pertukaran asing.

Untuk tempoh sembilan bulan yang dilaporkan, jualan Kumpulan mencecah RM5.02 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 17.5 peratus berbanding RM4.27 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Jualan domestik dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 13.7 peratus dan 33.8 peratus disokong oleh pertumbuhan yang kukuh dalam segmen Makanan dan Minuman (F&B) teras dan segmen OOH, yang turut memperlihatkan pemulihan yang kukuh berikutan langkah menamatkan sepenuhnya sekatan pergerakan pada awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, pihaknya sekali lagi menerima permintaan kukuh bagi portfolio produk dan jenama di bawah Kumpulan pada suku ini, yang membuktikan keupayaan Kumpulan untuk memenuhi jangkaan dan permintaan pengguna di Malaysia.

"Kami kekal komited untuk memenuhi janji Good Food, Good Life kepada rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat, tidak kira di mana mereka berada dan apa jua bentuk produk yang digemari," katanya dalam kenyataan.

Bagi suku ketiga yang dilaporkan, Kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM1.68 bilion iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding suku tahun sama tahun lalu.

Jualan domestik dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 13.5 peratus dan 30.2 peratus berikutan aktiviti ekonomi terus kembali stabil di dalam dan luar negara.

Saluran OOH terus mencatatkan pemulihan berbanding tempoh yang sama tahun lepas, yang menyaksikan perniagaan OOH terkesan akibat sekatan pergerakan di kawasan-kawasan tertentu di Malaysia.

Bagi tempoh sembilan bulan yang dilaporkan, jualan lebih tinggi dan perbelanjaan Covid-19 lebih rendah telah membantu mengurangkan sebahagian daripada kesan kenaikan harga komoditi, kadar pertukaran yang kurang menguntungkan dan kesan Cukai Makmur terhadap untung selepas cukai.

Untung sebelum cukai dan selepas cukai Kumpulan masing-masing telah meningkat sebanyak 11.8 peratus dan 6.5 peratus kepada RM676.1 juta dan RM487.5 juta dalam tempoh ini.

Bagi suku ketiga 2022, Kumpulan mencatatkan untung sebelum cukai dan untung selepas cukai sebanyak RM149.6 juta dan RM112.6 juta masing-masing.

Angka ini lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2021 terutama disebabkan kesan harga komoditi yang lebih tinggi dan kadar pertukaran kurang menguntungkan, di samping impak suku tahunan Cukai Makmur terhadap untung selepas cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 7:10 AM