NESTLE memperuntukkan pelaburan baharu yang besar untuk meluaskan dan menaik taraf kemudahan pengilangan.
NESTLE memperuntukkan pelaburan baharu yang besar untuk meluaskan dan menaik taraf kemudahan pengilangan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Nestle (Malaysia) Berhad akan menceburkan diri dalam kategori makanan berasaskan tumbuhan yang mana kemudahan kilang untuk menghasilkan produk seumpama itu sudah siap dan beroperasi sepenuhnya.

Ia adalah satu daripada dua kilang seumpamanya di seluruh Asia dan akan dilancarkan secara rasmi pada April nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, pada 2021, Nestle memperuntukkan pelaburan baharu yang besar untuk meluaskan dan menaik taraf kemudahan pengilangan, yang juga bakal mencipta peluang pekerjaan baharu.

"Kami akan menggiatkan usaha pada 2021 untuk membina masa depan yang lebih hijau dan lestari untuk semua dengan projek penting seperti pelaksanaan Projek RELeaf dengan matlamat menanam tiga juta pokok dari 2021 hingga 2023.

"Selain itu, kami akan terus menggiatkan usaha dalam perjuangan berterusan menentang sisa plastik dan bertukar kepada sumber tenaga boleh diperbaharui di semua tapak kilang kami," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, bagi tahun 2020, Nestle mencatatkan satu lagi keputusan mantap bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 dengan perolehan berjumlah RM5.4 bilion.

Prestasi Kumpulan meningkat pada suku akhir 2020 dengan pertumbuhan hasil dan keuntungan kukuh berbanding tempoh sama pada 2019.

Keputusan ini dipacu oleh tahap penggunaan di rumah yang kukuh, pemulihan eksport dan beberapa kemajuan dalam saluran di Luar Rumah (OOH) berikutan keadaan operasi yang lebih terbuka dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, Kumpulan turut mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM167.4 juta, sekali gus merapatkan jurang keputusan 2019 berbanding tiga suku tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Nestle tetap berjaya mencatatkan untung selepas cukai RM132.5 juta, peningkatan sedikit berbanding suku sama tahun lalu.

"Sejak permulaan pandemik Covid-19, keutamaan kami melindungi keselamatan semua pekerja kami tanpa mengira implikasi kos.

"Sebagai contoh, program saringan besar-besaran kami yang bermula pada Oktober 2020, lebih 140,000 ujian dijalankan setakat ini menelan kos terkumpul jutaan ringgit.

"Usaha memerangi virus ini mengajar kami untuk terus bersikap merendah diri, proaktif dan berdisiplin dalam pelaksanaan semua SOP dan langkah pengawalan.

"Kami juga memenuhi komitmen kami untuk melindungi pekerjaan dan penggajian dan berjaya mengelakkan sebarang penyusunan semula tenaga kerja pada 2020 walaupun dihimpit tekanan kos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 7:00 AM