SEPANJANG PKPP jenama  kumpulan Nestle terus dapat sokongan.
SEPANJANG PKPP jenama kumpulan Nestle terus dapat sokongan.

NESTLE (Malaysia) Bhd meraih keuntungan bersih RM128 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, disokong peningkatan prestasi saluran luar rumah dan perbelanjaan berkaitan Covid-19 lebih rendah berbanding suku sebelumnya.

Prestasi yang berdaya tahan itu bagaimanapun lebih rendah berbanding keuntungan bersih RM149 juta yang dicatatkan pada suku sama 2019.

Pendapatan bagi suku dikaji pula hampir sama berbanding suku sama tahun lalu pada RM1.4 bilion.

Syarikat itu turut mengumumkan pemberian dividen interim sebanyak 70 sen sesaham dan menekankan komitmen serta keyakinannya untuk membayar dividen yang kukuh bagi tahun kewangan penuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2020, pendapatan kumpulan mencecah RM4.04 bilion, sedikit rendah berbanding tahun lalu iaitu RM4.19 bilion.

Menurutnya, kumpulan juga mencatatkan margin keuntungan kukuh bagi sembilan bulan pertama, dengan untung sebelum cukai RM557.4 juta dan untung selepas cukai RM420.2 juta.

"Kemerosotan berbanding tempoh sama pada 2019 disebabkan kesan Covid-19 ke atas saluran luar rumah dan sebahagian besarnya berlaku pada suku kedua akibat perbelanjaan besar berjumlah RM50 juta yang perlu ditanggung untuk melindungi keselamatan kerja dan kesinambungan perniagaan.

"Ia disebabkan keuntungan sekali berjumlah RM19.8 juta yang dicatatkan pada 2019 bagi penjualan kilang di Petaling Jaya," katanya.

Aranols berkata, perniagaan makanan dan minuman teras (F&B) kumpulan terus menjadi penyumbang utama, mencatatkan pertumbuhan 2.2 peratus dipacu oleh penggunaan di rumah yang kukuh dan pemulihan eksport.

Beliau berkata, prestasi saluran luar rumah masih di bawah paras keputusan yang dicatatkan tahun lalu, namun momentum kian meningkat berikutan pelonggaran sekatan operasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak pertengahan Jun.

Katanya, sepanjang tempoh PKPP, jenama kumpulan terus mendapat sokongan padu daripada pembeli.

Nestle juga katanya, terus berusaha di saluran luar rumah untuk menyokong pelanggan memulakan semula aktiviti dan mengukuhkan kembali perniagaan masing-masing selepas mengharungi cabaran besar pada suku pertama.

"Pembabitan dan kerjasama rapat pengendali perniagaan di luar rumah memainkan peranan penting untuk mencatatkan pemulihan progresif aktiviti di saluran terbabit," katanya.

"Perniagaan kami masih bertahan namun tetap terdedah kepada impak pandemik Covid-19. Keputusan bagi suku ini mencerminkan aktiviti yang menjana permintaan sepanjang suku tahun itu.

"Ia memastikan tahap penggunaan di rumah yang tinggi untuk semua jenama utama Nestle. Kami terus menjalin hubungan erat menerusi kempen komunikasi kukuh, pembabitan digital yang berkesan dan pelaksanaan dalam kedai yang mantap," katanya.

Mengulas lanjut, Aranols berkata, walaupun cabaran luaran dijangka berterusan dalam jangka pendek, kumpulan yakin bahawa prospek jangka panjang adalah positif dan akan terus bekerja keras untuk mendapatkan keyakinan serta kepercayaan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 7:00 AM