Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd (LBS) mencatatkan nilai jualan RM1.604 bilion dengan 3,886 unit kediaman dijual, sekali gus mencapai sasaran jualan tahun kewangan 2022 sebelum tamat suku tahun terakhir.

Prestasi jualan yang memberangsangkan pada 2022 juga menyaksikan pertumbuhan tahunan 85.8 peratus pada 15 Oktober 2021 sebanyak RM863 juta.

Lembah Klang, secara khususnya menunjukkan kadar pengambilan membanggakan, apabila menyumbang 89 peratus daripada jumlah jualan.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, dengan berakhirnya pengecualian duti setem pada penghujung 2021, syarikat menjangkakan penurunan dalam jualan, sebaliknya beliau berpuas hati kerana LBS terus menerima kadar pengambilan yang menggalakkan untuk projek.

Beliau berkata, langkah kerajaan baru-baru ini untuk meningkatkan nilai pengecualian duti setem patut dipuji kerana nilai hartanah LBS berada dalam lingkungan RM500,000 dan dapat memberikan penjimatan bermula daripada RM21,000 bagi pembeli rumah kali pertama.

"Penggunaan kaedah digital telah menjadi kebiasaan dalam trend membeli rumah pada hari ini. Proses pencarian rumah yang betul boleh menjadi suatu proses membebankan.

"Matlamat kami dalam kaedah pendigitalan adalah membantu melancarkan proses menyediakan sistem robotik dan automasi bermula daripada proses pembinaan sehingga pengambilan kunci.

"Pembeli rumah juga boleh melihat proses pembinaan secara berkala dengan rakaman dron, laman web yang menyeluruh di mana bakal pembeli akan dapat melihat contoh rumah melalui rumah pameran maya, menjawab pertanyaan melalui meja bantuan dan membuat tempahan dalam talian, dan keseluruhan proses ini dilakukan di hujung jari sahaja.

"LBS optimis mengekalkan momentum sehingga akhir tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, di sebalik masalah kekurangan tenaga kerja yang melanda negara, kenaikan harga bahan dan pemulihan ekonomi negara dalam fasa endemik yang terbukti memberikan cabaran kepada pemaju perumahan di Malaysia, terutama segmen hartanah rumah mampu milik, LBS berupaya menghadapinya malah berjaya mengatasi sasaran jualan tahun sebelumnya sebanyak hampir dua kali ganda.

Sebahagian daripada kejayaan itu disumbang teknologi Sistem Binaan Berindustri Pratuang (IBS) milik anak syarikatnya, MGB Bhd yang membantu mempercepatkan proses pembinaan, mengurangkan kos operasi, tanpa menjejaskan kualiti binaan.

LBS turut melaporkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang menyumbang lebih daripada 84 peratus daripada hasil enam bulan pertama tahun kewangan 2022.

Katanya, jumlah tunai dan kesetaraan tunai syarikat, pada akhir Jun 2022, adalah RM265.7 juta, iaitu peningkatan sebanyak 62 peratus berbanding enam bulan pertama tahun kewangan 2021.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, LBS menyaksikan pendapatannya meningkat sebanyak 54 peratus tahun ke tahun kepada RM410.4 juta manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 2.25 sen daripada 1.04 sen berbanding tahun sebelumnya.

Pada 30 Jun 2022, hasil keuntungan syarikat dalam tempoh enam bulan meningkat sebanyak 23 peratus tahun ke tahun kepada RM819.4 juta manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 3.70 sen berbanding 2.37 sen pada tahun sebelumnya.

Untuk tahun yang mendatang, LBS akan terus bergerak maju seiring perancangan dan perubahan paradigma secara menyeluruh.

Antaranya termasuk melalui penerokaan perkongsian dan kerjasama baharu, di mana LBS sentiasa terbuka dengan sebarang kerjasama yang membawa manfaat jangka panjang.

Antara kerjasama yang telah dimeterai termasuk bersama kerajaan negeri Selangor melalui pelancaran Projek Rumah Selangorku MBI serta kerjasama dengan Watsons melalui kempen 'Shop with Watsons & Walk Away with a Home'.

Di samping itu, LBS turut melancarkan kempen pemasaran 'LBS Fabulous Extra 2021-23' yang memberikan ganjaran kepada pemilik rumah dengan pelbagai hadiah menarik.

Inisiatif ini membolehkan syarikat membangunkan potensi pemasaran selain menyediakan perkhidmatan yang mensasarkan pelbagai lapisan masyarakat di samping memperkukuhkan pangkalan data.

Misi utama LBS ialah membina rumah untuk rakyat dan Syarikat menjangkakan untuk melancarkan 17 projek di Lembah Klang, Johor, Pahang, dan Perak untuk tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:43 PM