Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad merekodkan hasil sebanyak RM410.4 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM33.2 juta, peningkatan tahun ke tahun masing-masing sebanyak 54 peratus dan 71 peratus, bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (Q2FYE22).

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) meningkat sebanyak 116 peratus, tahun ke tahun, kepada RM35.1 juta.

Syarikat melaporkan keputusan kewangan yang kukuh di sebalik cabaran industri pembinaan seperti kekurangan buruh dan tekanan inflasi yang meningkat.

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022 hasil dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 23 peratus dan 58 peratus kepada RM819.4 juta dan RM65.3 juta berbanding tempoh sama pada tahun 2021.

Sebahagian besar peningkatan ini berikutan kadar pengambilan positif bagi projek di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth dan Taman Perindustrian Alam Awana.

LBS dalam kenyataan berkata, projek pembangunan di Lembah Klang dilaporkan menyumbang lebih 84 peratus daripada hasil bagi tempoh enam bulan tahun ini.

"Pada 21 Ogos 2022, LBS telah mengumumkan rekod jualan hartanah sebanyak RM1.31 bilion dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM313 juta.

"Sehingga 31 Julai 2022, Syarikat mempunyai bank tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 2,674 ekar," kata LBS dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai keputusan itu, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS telah menghasilkan pendapatan yang luar biasa pada suku ini. "Ini adalah sebahagian daripada pelancaran yang dirancang teliti di samping usaha berterusan Syarikat untuk melaksanakan strategi pemasaran yang inovatif.

"Di dalam persekitaran yang penuh dengan ketidakpastian akibat kekurangan tenaga kerja, kenaikan kadar faedah serta kenaikan harga bahan mentah, saya gembira kerana kami berjaya mengekalkan pendapatan kami.

"Kami juga sedar bahawa semua ini memerlukan masa untuk pulih dan berharap momentum ini dapat dikekalkan menuju ke separuh kedua 2022," katanya.

Menurutnya, kejayaan memperolehi jualan mencecah RM1.31 bilion, bersamaan dengan 82 peratus daripada sasaran jualan tahun 2022.

"Kami gembira kerana kadar pengambilan kukuh bagi projek-projek kami pada suku kedua, khususnya di pembangunan LBS Alam Perdana dan KITA @ Cybersouth. "Ini menunjukkan bahawa kami berada di landasan tepat dengan pembinaan di kawasan strategik sekaligus berupaya menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi keperluan pembeli rumah.

"Kami akan terus kekal fokus pada rancangan pertumbuhan kami sambil mengutamakan pemegang saham kami dan tentunya kami berhasrat untuk membawa LBS ke tahap lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:07 PM