Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) merekodkan peningkatan hasil keuntungan 7.6 peratus tahun ke tahun, kepada RM36.37 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (Q1FYE2023).

Ia berdasarkan hasil daripada pendapatan RM384.86 juta.

LBS dalam kenyataan berkata, segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan Kumpulan dengan menyumbang lebih 96 peratus daripada jumlah pendapatan pada RM370.44 juta.

"Pendapatan segmen ini sebahagian besarnya didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek utama LBS di KITA @ Cybersouth, Bukit Jalil dan LBS Alam Perdana.

"Sehingga 24 Mei 2023, LBS telah memperoleh jumlah jualan hartanah sebanyak RM526 juta daripada hartanah rumah mampu milik dengan tempahan sebanyak RM589 juta.

"Di samping itu, LBS mempunyai 22 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.5 bilion.

"Pada 30 April 2023, LBS mempunyai jualan tanpa bil sebanyak RM2.39 bilion, yang dijangka memberikan pendapatan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pihaknya berusaha meningkatkan keuntungan bersih Kumpulan dengan positif, di mana LBS telah merekodkan margin keuntungan bersih yang luar biasa kepada 9.5 peratus berbanding 8.3 peratus bagi suku pertama 2022.

"Ini berikutan pelan strategik dan kawalan kos yang disiplin bagi mengoptimumkan margin kami.

"LBS turut merekodkan jualan hartanah sebanyak RM526 juta setakat ini. Untuk itu, LBS akan terus melancarkan kempen pemasaran kreatif bagi menarik lebih ramai pembeli, seperti kempen terbaru kami iaitu "Rezeki Ekstra Dikongsi Kembali".

"Kempen ini menawarkan tawaran menarik kepada pembeli rumah untuk memenangi "Duit Raya" bernilai lebih RM438,000 dengan enam ganjaran bonus menarik untuk pembeli rumah LBS," katanya.

Menurutnya, pihaknya kami turut merancang pelancaran projek-projek lain untuk tahun 2023 yang dijangka meningkatkan jualan hartanah LBS bagi baki tahun ini.

"Dengan strategi yang memberi penekanan kepada kehendak pembeli rumah, kami optimis dapat memenuhi sasaran jualan kami," katanya.

Hock San berkata, meskipun Bank Negara Malaysia telah meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus, pihaknya percaya bahawa produk LBS yang berada dalam lingkungan perumahan mampu milik dan terletak di kawasan strategik akan terus menerima permintaan yang kukuh.

"LBS juga dibantu oleh inisiatif ekonomi yang positif seperti keputusan kerajaan baru-baru ini untuk memberi subsidi harga simen bagi pembinaan rumah mampu milik berharga di bawah RM300,000.

"Kami akan terus beriltizam untuk mengulangi kejayaan pada 2022, dengan komitmen untuk memberikan yang lebih baik kepada pembeli rumah, komuniti dan pihak berkepentingan kami. Kami optimis bahawa tahun 2023 akan menjadi tahun yang positif kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 10:50 AM