AIREEN (duduk, tengah) bersama pengurusan kanan Yayasan Peneraju.
AIREEN (duduk, tengah) bersama pengurusan kanan Yayasan Peneraju.

Kuala Lumpur: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menjalin kerjasama dengan platform teknologi pendidikan serantau yang pantas membangun, airasia academy untuk membantu meningkatkan peluang kebolehpasaran bagi golongan minoriti berstigma dengan membina pengetahuan kemahiran yang relevan dengan keperluan ekonomi yang dipacu teknologi.

Sebagai permulaan, 200 peserta terpilih dari komuniti B40, graduan baharu dan penganggur yang kehilangan pekerjaan atas pelbagai faktor, akan menyertai program latihan tajaan penuh dan penempatan pekerjaan yang ditaja oleh Yayasan Peneraju dengan kursus pantas atau bootcamp kelolaan airasia academy dalam bidang Pemasaran Digital, Kejuruteraan Perisian, Analisis Data dan Infrastruktur Cloud.

Presiden (Usahaniaga) Capital A & Ketua Pegawai Eksekutif airasia academy, Aireen Omar berkata, pihaknya menerima sambutan memberangsangkan daripada orang ramai yang berminat untuk menceburi kerjaya dalam teknologi.

"Bagaimanapun, untuk program ini kami menumpukan terhadap golongan yang benar-benar memerlukan. Ini yang kami perjuangkan di airasia academy dan ia mengukuhkan lagi usaha kami supaya pendidikan dalam bidang teknologi lebih inklusif, mudah diakses dan relevan dalam memastikan negara bersedia untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0)," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Strategi dan Perhubungan Yayasan Peneraju, Dr Amina Josetta Kayani berkata, pihaknya bergabung dengan airasia academy untuk memastikan peluang saksama untuk golongan berkeperluan khas, termasuk para huffaz, golongan autistik dan bekas pesalah juvana.

"Atas sebab itu Yayasan Peneraju bekerjasama dengan airasia academy bukan sahaja untuk memberi latihan malah memantau pencapaian sehingga tahap memadankan mereka dengan pekerjaan bersesuaian untuk membantu mereka mengubah kehidupan ke arah lebih baik," katanya.

Menurutnya, sebaik peserta melengkapkan latihan, mereka akan melalui program peralihan pekerjaan dengan aktiviti simulasi tempat kerja untuk membantu asimilasi mereka ke dalam persekitaran pekerjaan dan mempersiapkan mereka untuk kerjaya baru dalam bidang teknologi.

Selain pensijilan profesional, peserta program tajaan penuh dan biasiswa Yayasan Peneraju turut ditawarkan latihan kemahiran insaniah, bengkel resume, tajaan makanan dan penginapan bagi sepanjang tempoh kursus dan akses percuma kepada platform pembelajaran dalam talian (ODL) airasia academy selama 12 bulan.

Calon yang memenuhi kriteria kelayakan masih boleh menghantar permohonan sehingga 25 Oktober 2022. Program ini terbuka kepada Bumiputera, terutama wanita dari kumpulan B40, ibu atau bapa tunggal, pekerja bebas, peniaga kecil, OKU, golongan tanpa pendidikan formal, pelajar lepasan universiti dan tidak bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 7:01 AM