Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Industri hartanah dijangka mencatatkan prestasi positif pada separuh kedua tahun ini selepas berdepan sedikit kelembapan pada tahun lalu.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, pihaknya mendapati lebih 50 peratus responden merancang untuk melancarkan projek hartanah baru pada separuh pertama 2017, namun tidak meletakkan sasaran jualan yang tinggi.

“Jualan hartanah disasarkan kembali meningkat pada separuh kedua tahun ini berikutan penurunan harga jualan hartanah di empat negeri utama iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan negeri turut mengekalkan harga jualan kediaman yang dilancarkan tahun ini kecuali Kelantan yang dijangka menaikkan harga jualan hartanah sehingga RM500,000.

“Kami optimis separuh kedua 2017 akan memberikan petanda positif dalam jualan hartanah di Malaysia. Pada separuh pertama 2017, tiga perempat responden menjangkakan hanya dapat menjual 50 peratus projek hartanah mereka dalam masa enam bulan selepas pelancaran.

“Malah, tahun ini juga lebih banyak projek kediaman strata akan dilancarkan berbanding unit teres atau kediaman mewah memandangkan permintaan untuk kediaman jenis ini lebih tinggi khususnya di lokasi bandar,” katanya pada taklimat media mengumumkan hasil Kaji Selidik Industri Hartanah REHDA bagi separuh kedua 2016, di sini, baru-baru ini.

Kaji selidik yang dijalankan antara Julai hingga Disember lalu itu disertai 165 ahli REHDA.

FD Iskandar berkata, sejajar dengan peningkatan pelancaran hartanah baru, prestasi jualan dalam tempoh dikaji juga mencatatkan kenaikan kecil sebanyak enam peratus.

“Hartanah jenis apartmen/kondominium mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 31 peratus manakala teres dua tingkat (28 peratus) dan apartmen servis (17 peratus).

“Hampir separuh projek hartanah dilancarkan pada separuh kedua 2016 berharga di bawah RM500,000, dengan kebanyakan negeri mengekalkan harga itu kecuali Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan yang menyaksikan penurunan harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:17 AM