DATUK Karl Yusof (kanan, duduk) bersama pelukis OKU. FOTO Aswandi Alias & Mohamad Shahril Badri
DATUK Karl Yusof (kanan, duduk) bersama pelukis OKU. FOTO Aswandi Alias & Mohamad Shahril Badri
Muhamaad Razis Ismail

SEBUAH pameran lukisan The Gifted Art Show menempatkan ratusan lukisan yang dihasilkan orang kurang upaya (OKU) berbakat di White Box, Publika, Kuala Lumpur, diadakan awal Mac lalu.

Pameran disertai oleh 25 OKU yang mengalami autisme, masalah pendengaran, masalah pembelajaran dan sebagainya daripada seluruh negara dikumpulkan dalam program yang dijalankan selama tiga hari.

Menariknya, mereka semua diberi ruang seperti pelukis profesional lain untuk menonjolkan lukisan yang antaranya dianggap sebagai 'karya agung' dengan harga sehingga RM34,000 dan lukisan dibeli untuk dipamerkan secara kekal di muzium kesenian di luar negara.

Pembelinya bukan hanya terdiri daripada orang tempatan malah turut datang dari luar negara.

Salah seorang penganjur Datuk Karl Yusof berkata, objektif utama pameran itu dijalankan untuk memberi peluang kepada individu istimewa ini menunjukkan bakat seni yang dimiliki mereka kepada masyarakat.

"Biarpun ada kekurangan berbanding insan normal lain, mereka sebenarnya memiliki kelebihan tersendiri. Bakat mereka ini sungguh luar biasa dan kita rasa terpanggil untuk menganjurkan program seperti ini.

ANTARA lukisan yang mendapat perhatian. FOTO Aswandi Alias & Mohamad Shahril Badri
ANTARA lukisan yang mendapat perhatian. FOTO Aswandi Alias & Mohamad Shahril Badri

"Program ini juga dapat membuka mata ramai pihak terutama pengumpul lukisan dan pemilik galeri untuk bersama-sama membantu mereka.

"Kita percaya menerusi usaha ini, ia secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada individu istimewa lain di luar sana untuk turut berjaya dengan seni, katanya.

Rata-rata ibu bapa peserta yang ditemui memberi maklum balas positif berhubung penganjuran program itu yang membuka peluang kepada anak-anak mereka.

Zuraini Anwar berkata, anaknya Izzati Shahrin yang mengalami sindrom down dan autisme disedari memiliki bakat melukis sejak daripada kecil.

Katanya, sebagai ibu, dia sentiasa menyokong minat anak istimewanya itu dengan menyediakan segala keperluan yang diperlukan.

"Sejak kecil lagi Izzati banyak menyertai pertandingan dan pameran seperti ini.

"Program kesenian seperti ini sangat baik untuk mereka berkumpul dan bertemu antara satu sama lain.

ANTARA lukisan yang dipamerkan. FOTO Aswandi Alias & Mohamad Shahril Badri
ANTARA lukisan yang dipamerkan. FOTO Aswandi Alias & Mohamad Shahril Badri

"Lukisan terjual itu jatuh nombor dua, yang penting ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dan pengalaman baru kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan seni lukis, katanya.

Sementara itu, Helen Lee berkata, dia dapat melihat perkembangan positif terhadap anaknya Anthony Lee Weng Choong selepas terbabit dengan aktiviti kesenian.

"Saya sentiasa memberi sokongan kepada anak untuk meneruskan minat dalam bidang seperti ini dan kelebihan yang ada perlu kita kembangkan sebaik mungkin.

"Hampir setiap bulan, anak akan dijemput untuk sertai pertandingan atau pameran.

"Ini baik untuk emosinya, tidak hanya duduk di rumah sahaja dan mereka dapat rasakan menjadi sebahagian dalam masyarakat, katanya.

Dalam pada itu bagi Dr Ann Abdul Ghani, kesedaran masyarakat pada hari ini terhadap individu yang memiliki kelainan upaya sudah meningkat.

"Oleh itu, ibu bapa kena terus positif dengan membantu kembangkan minat anak. Biarpun berbeza, mereka sebenarnya sangat kreatif dan di sini kita perlu mainkan peranan.

"Sebagai ibu, saya sentiasa berbangga dengan anak Yuri Azzari Yuri Zaharin yang memiliki bakat melukis sejak kecil.

"Malah sekarang ini banyak kelas melukis sudah menerima anak OKU ini untuk membantu mengeluarkan potensi dan bakat yang dimiliki oleh mereka, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:30 AM