RIAD
RIAD

Singapura: AirAsia menjangka operasinya bagi Malaysia-Singapura akan pulih sepenuhnya menjelang suku pertama 2023 berikutan perkhidmatannya yang kembali beroperasi di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi yang terkini dan automatik sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat berkata syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk kembali pulih kepada 80 peratus daripada tahap sebelum pandemik menjelang Disember 2022 dengan 20 penerbangan harian berbanding 15 penerbangan semasa pada setiap hari.

"Memandangkan kekangan dari jumlah pesawat dan cabaran keupayaan penyelenggaraan serta pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia untuk mendapatkan pesawat diservis, keutamaan kami menjadikan pesawat itu layak terbang dan (memastikan) keselamatan penumpang.

"Pada masa ini, kami perlu gunakan pesawat ini untuk penuhi permintaan semasa dan kami melakukannya dengan begitu berhati-hati," katanya kepada wartawan Malaysia selepas majlis meraikan penyambungan semula operasi AirAsia di T4 semalam.

Sebagai menandakan penyambungan semula operasi AirAsia di T4, penerbangan AK703 dari Kuala Lumpur tiba pada 8.25 pagi waktu tempatan.

Sejak dilanda pandemik, syarikat penerbangan itu beroperasi di Terminal 1 Lapangan terbang Changi.

Mengenai rancangan pengembangan, kumpulan akan memperuntukkan pesawat baharu yang telah ditempahnya mengikut permintaan dan keperluan di seluruh operasi kumpulan, kata Riad sambil menambah, cadangan untuk meluaskan operasinya di Indonesia dan Filipina sedang dibincangkan, termasuk di Malaysia.

Beliau berkata, pada masa ini sebanyak 90 pesawat digunakan bagi memenuhi permintaan di Malaysia.

"Berdasarkan permintaan dan situasi semasa, mempunyai 90 pesawat lebih daripada cukup, sekurang-kurangnya untuk setahun lagi," menurut Riad.

Penumpang AirAsia menyumbang lebih satu perlapan daripada jumlah keseluruhan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Changi.

Pengoperasian semula AirAsia di T4 akan memberi peluang kepada syarikat penerbangan AirAsia untuk menambah lebih banyak perkhidmatan bagi memenuhi permintaan yang kukuh, sekali gus membolehkannya pulih sepenuhnya ke tahap sebelum pandemik dalam masa terdekat.

Bagi meraikan pengoperasian semula di T4, AirAsia menawarkan penerbangan dari Singapura ke banyak destinasi terkenal termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Miri, Bangkok dan Phuket dengan tambang asas bermula daripada SGD38.

Tetamu juga boleh menaiki penerbangan melalui Kuala Lumpur dan Bangkok untuk mengunjungi banyak destinasi menarik seperti Nha Trang, Kuala Terengganu, Chiang Mai, Trichy dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 7:01 AM