FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Singapura: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia berharapkan kepada pembukaan semula Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi pada September 2022.

"Pada bila-bila masa yang lebih cepat adalah baik bagi kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat kepada Bernama di luar Festival Penerbangan Asia 2022 di sini hari ini.

Riad yang juga merupakan antara ahli panel bagi membincangkan tajuk "Flying with confidence - what next for airlines in Asia?" berkata, buat masa ini syarikat penerbangan itu menggunakan Terminal 1 (T1).

"Ia baik, namun, adalah sesuai untuk kami kembali kepada perkhidmatan sebelum Covid-19. T4 paling sesuai bagi operasi kami.

"Kami banyak beroperasi dari sana dengan saiz dan volum yang diberikan kepada kami pada masa itu. Ia turut bertepatan dengan kecekapan kami. Diharap, ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Mengenai sama ada AirAsia telah mencapai tahap kekerapan seperti sebelum Covid-19 di T1, Riad berkata: "Belum lagi (walapun) penerbangan kami dengan jelas telah kembali kepada jadual kekerapan sebelum ini.

"Kami sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa di sini. Selain ini, kami sudah tentu ingin terbang lebih kerap ke Singapura. Kami mempunyai keupayaan itu dan mahu berbuat demikian secepat mungkin," katanya.

Bernama difahamkan bahawa ketika ini Airasia melaksanakan penerbangan ke 11 bandar di Asean dari Singapura berbanding 16 bandar sebelum penutupan sempadan antarabangsa akibat Covid-19.

Changi Airport Group (CAG) dalam pengumumannya pada 10 Jun berhubung pembukaan semula T4 berkata, langkah itu akan meningkatkan kapasiti operasi Lapangan Terbang Changi dan membolehkan lapangan terbang itu untuk mencapai pemulihan sepenuhnya trafik penumpang sebelum Covid-19 pada musim sejuk utara mulai 30 Oktober.

CAG berkata, sejak protokol perjalanan dilonggarkan pada 1 April lepas, trafik penumpang di Lapangan Terbang Changi telah mencatatkan pemulihan yang kukuh.

Menurut CAG, trafik penumpang di Lapangan Terbang Changi bagi minggu pertama Jun 2022 telah mencapai 48 peratus daripada tahap sebelum Covid-19 berbanding tujuh hari pertama pada Jun 2019.

Berikutan perjalanan udara yang mencatatkan peningkatan, syarikat penerbangan itu telah memohon kepada pelancaran lebih banyak penerbangan pada musim ini, kata CAG.

CAG berkata, pertama, ia akan membuka semula T4 pada September ini untuk mengendalikan penerbangan yang tiba dan berlepas.

Katanya, sesi libat urus dengan syarikat penerbangan, rakan niaga lapangan terbang dan penyewa berpotensi telah bermula sebagai persediaan.

"Syarikat penerbangan yang sebelum ini beroperasi di T4 dijangka kembali ke terminal itu sebaik sahaja ia dibuka semula. CAG akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan mengenai maklumat lanjut berkaitan penempatan semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 5:28 PM