TIGA destinasi eksport teratas  produk tayar pada separuh pertama 2022  ialah Amerika Syarikat, Brazil dan  Thailand.
TIGA destinasi eksport teratas produk tayar pada separuh pertama 2022 ialah Amerika Syarikat, Brazil dan Thailand.

Kuala Lumpur: Eksport produk tayar Malaysia berpotensi untuk terus berkembang selepas berjaya mencatatkan peningkatan enam peratus kepada RM883.2 juta pada separuh pertama tahun ini berbanding RM832.8 juta pada 2021.

Majlis Getah Malaysia (MRC) dalam kenyataan berkata, tiga destinasi eksport teratas untuk produk tayar pada separuh pertama 2022 ialah Amerika Syarikat (AS) dengan peningkatan 14.4 peratus kepada RM403.3 juta, Brazil (peningkatan 36.9 peratus kepada RM104.7 juta) dan Thailand (peningkatan 25 peratus kepada RM44.6 juta).

Ia berkata, jumlah eksport keluaran getah pula mencecah RM15.626 bilion pada separuh pertama tahun ini, berbanding RM39.826 bilion pada separuh pertama 2021.

Katanya, eksport getah meningkat 1.01 peratus kepada RM4.609 bilion pada 2022 berbanding RM4.563 bilion pada 2021, sementara produk lateks yang lain (bukan sarung tangan) menunjukkan pengembangan positif sebanyak 35.5 peratus pada separuh pertama 2022 berjumlah RM1.23 bilion berbanding RM907 juta pada separuh pertama 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad berkata, ketika ini Malaysia mempunyai petunjuk mengenai peluang pasaran berdasarkan saiz pasaran dan eksport.

"Ini memberi peluang kepada kita untuk menumpukan pelaburan baharu, kemajuan teknologi dan produk yang lebih hijau untuk mengembangkan eksport," katanya.

Menurutnya, ketika negara menuju ke fasa endemik, MRC akan terus mengukuhkan daya tahan, yang mana inisiatif baharu itu bertujuan untuk meningkatkan nilai industri getah negara agar selari dengan industri global yang agresif dan sentiasa bersedia.

"Tujuan utamanya adalah bagi meningkatkan nilai industri di peringkat antarabangsa untuk memaksimumkan potensi pada masa yang sama menambah baik kebolehan industri getah bagi mengekang kebarangkalian kesesakan, tadbir urus dan isu reputasi," katanya.

Dalam usaha untuk menembusi pasaran baharu iaitu Komponen Automotif Getah (RAC), MRC akan mengambil bahagian di pameran perdagangan seperti Automechanika Frankfurt 2022 di Jerman bulan ini.

Automechanika Frankfurt adalah pameran perdagangan yang terkemuka di mata dunia bagi industri servis automotif dan akan mewakili keseluruhan rantaian selepas pasaran automotif.

MRC juga akan mengambil bahagian di EVM Asia Expo 2022 yang akan dianjurkan oleh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan disokong oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Selain industri automotif, MRC secara aktif mempromosikan Produk Getah Kejuruteraan (ERP) termasuk galas seismik yang telah digunakan di negara terdedah kepada bencana alam seperti gempa bumi termasuk Indonesia, Turkiye dan Mesir.

Bagi menyokong inovasi dalam industri, MRC telah melancarkan satu dana iaitu Dana Global untuk Inovasi Getah (GFRI) untuk menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pelaburan dalam produk bernilai tinggi dan teknologi di dalam industri getah dan produk getah.

Dana sehingga RM10 juta telah disediakan untuk menggalakkan generasi yang mempunyai idea, inovasi dan ciptaan untuk produk getah serta teknologi yang mempunyai daya pengkomersialan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 7:00 AM