KPPK menyediakan dana subsidi upah bagi menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja rakyat tempatan.
KPPK menyediakan dana subsidi upah bagi menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja rakyat tempatan.

Kuala Lumpur: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyediakan dana subsidi upah sebanyak RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja daripada kalangan rakyat tempatan.

Menterinya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, permintaan tinggi terhadap sarung tangan getah berikutan penularan pandemik Covid-19 sejak Januari 2020 menyebabkan lebih ramai pekerja diperlukan dalam sektor berkenaan.

"Berdasarkan anggaran oleh Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri ini memerlukan 34.7 peratus atau 25,000 lagi pekerja baharu.

"Bagi menyokong usaha ini, KPPK melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) menyediakan dana subsidi upah sebanyak RM36 juta untuk menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja tempatan dalam industri itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Khairuddin berkata, prestasi eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu meningkat 73.9 peratus dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara.

Menurutnya, peningkatan itu didorong oleh permintaan tinggi daripada sektor perubatan dan kesihatan seluruh dunia dalam usaha membendung penularan pandemik.

"Terkini, produk ini menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara, dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia," katanya.

Eksport ke Amerika Syarikat yang juga pasaran utama sarung tangan getah Malaysia meningkat hampir 84 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2019 kepada RM11.89 bilion pada 2020.

Pasaran utama lain bagi produk berkenaan juga turut mencatatkan peningkatan eksport yang memberangsangkan iaitu Jerman sebanyak 82 peratus, Jepun (84 peratus), United Kingdom (201 peratus) dan China (146 peratus).

Khairuddin berkata, kementerian itu juga terus komited untuk memudah cara dan memantau operasi sektor industri sarung tangan getah untuk kekal beroperasi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 7:10 AM