AZHAR Rahman, 30, menjalankan aktiviti menoreh di Kampung Kuala Nal, Kuala Krai, Kelantan. FOTO Arkib NSTP
AZHAR Rahman, 30, menjalankan aktiviti menoreh di Kampung Kuala Nal, Kuala Krai, Kelantan. FOTO Arkib NSTP
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Industri getah Malaysia merekodkan prestasi cemerlang dengan produk berasaskan susu getah seperti sarung tangan getah, tiub getah dan kondom mencatatkan peningkatan membanggakan disebabkan pandemik Covid-19.

Nilai eksport meningkat 150 peratus kepada RM44.43 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM17.77 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nurul Islam Mohammed Yusoff berkata, prestasi menakjubkan eksport produk getah negara majoritinya disumbangkan oleh peningkatan kukuh sektor barangan berasaskan susu getah terutama produk sarung tangan sekitar 89.7 peratus, melonjak sebanyak 180.2 peratus.

Beliau berkata, produk berasaskan susu getah seperti sarung tangan getah, tiub getah dan kondom mencatatkan peningkatan 200.1 peratus disebabkan oleh pandemik Covid-19.

"Pada separuh pertama tahun ini, produk susu getah menyumbang 93.9 peratus daripada eksport produk getah manakala bakinya oleh produk getah kering sebanyak 6.1 peratus," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selain sarung tangan getah bagi perubatan, subsektor sarung tangan lain juga meningkat hingga tiga kali ganda atau 210.2 peratus kepada RM36.54 bilion pada tempoh dikaji.

"Sektor produk getah kering juga pulih dengan pertumbuhan luar biasa sebanyak 38.2 peratus kepada RM2.41 bilion berbanding RM1.75 bilion pada separuh pertama tahun lalu. Sektor produk getah kering merangkumi tayar, barang getah industri, barang getah am dan kasut.

"Tayar, eksport terbesar dalam produk getah kering meningkat 43.2 peratus kepada RM840 juta, sementara eksport barangan getah industri yang merangkumi produk untuk automotif, perlombongan dan pembinaan meningkat sebanyak 44.2 peratus kepada RM610 juta," katanya.

Nurul Islam berkata, bergerak ke hadapan, permintaan produk sarung tangan getah diunjurkan kekal kukuh.

Katanya, ancaman Covid-19 akan tetap berlaku ditambah dengan kemunculan varian baharu yang pelbagai ketika ini.

"Keberkesanan kesan vaksinasi bagi mengurangkan kes jangkitan juga ketika ini masih tidak dapat dipastikan sepenuhnya oleh kebanyakan negara termasuk Eropah.

"MRC menganggarkan permintaan global bagi produk sarung tangan getah kekal tumbuh dua angka antara 12 peratus hingga 15 peratus tahun ini.

"Penggunaan sarung tangan getah global per kapita dijangka meningkat kepada 25 pasang pada tahun ini disebabkan oleh penggunaan yang lebih tinggi di pasaran eksport utama Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah serta pasaran lain di Asia.

"Industri sarung tangan getah negara akan mengekalkan momentum positifnya dan eksport dijangka mencapai tahap tertinggi baharu tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:02 AM