Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Majlis Getah Malaysia (MRC) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memperkenalkan panduan berkaitan buruh kepada majikan dalam industri getah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerjasama antara MRC dan ILO itu dijangka dapat memacu pertumbuhan dan kemampanan industri getah negara terutamanya membabitkan isu tenaga buruh.

Katanya, panduan itu mengukuhkan sokongan kepada industri getah dalam memerangi buruh paksa.

"Langkah itu dapat memastikan industri getah tidak berhadapan dengan isu buruh paksa yang menjejaskan eksport produk berkaitan getah negara.

"Panduan ini akan membantu majikan, khususnya mereka yang menggaji pekerja asing mengenai cara mengenal pasti risiko buruh paksa dalam amalan pengambilan, pekerjaan dan penyumberan serta cara menangani, mencegah dengan berkesan.

"Ia mampu menghapuskan risiko tenaga buruh paksa dan mengelak syarikat pengeluar produk getah menjadi mangsa di kemudian hari.

"Ini langkah progresif, satu langkah ke hadapan di mana kita mahu bertindak supaya industri getah domestik menjadi industri stabil dari semua aspek termasuk pengurusan, penanaman, kilang penapisan dan pengambilan buruh dari luar negara," katanya kepada media di majlis pelancaran panduan buruh itu di sini, semalam.

ZURAIDA
ZURAIDA

Zuraida berkata, industri getah negara bergantung kepada tenaga buruh asing terutama dalam sektor pembuatan hiliran produk getah seperti sarung tangan dan tayar.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margrma), lebih daripada 60 peratus daripada 71,800 pekerja dalam industri getah adalah pekerja asing.

"Malaysia juga secara berterusan dituduh menggunakan buruh paksa dalam industri getah. Justeru, persekitaran pekerjaan adalah menjadi tumpuan utama bagi memastikan isu buruh paksa dapat ditamatkan segera.

"Pada 2021, nilai eksport industri getah sebanyak RM71 bilion menjadikan ia industri penting dan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

"Disebabkan itu, industri ini perlu diperkukuh dan menangani masalah berkaitan buruh dengan pantas," katanya.

Menurutnya, panduan terbabit juga dapat memberikan keyakinan kepada global mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu buruh sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:01 AM