Bangunan Bank Negara Malaysia.
Bangunan Bank Negara Malaysia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM129.6 bilion pada akhir bulan Julai 2022, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Jumlah modal penampan itu merujuk kepada keperluan penampan pengekalan modal sebanyak 2.5 peratus dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.

Dalam laporan sorotan bulanan Jun 2022 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata tahap permodalan institusi perbankan terus kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi.

"Sistem perbankan terus mencatatkan kedudukan permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi.

"Nisbah modal sistem perbankan bertambah baik pada bulan Julai, didorong oleh pengiktirafan keuntungan dan perolehan penilaian separuh tahun ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual apabila kadar hasil bon menurun sedikit," katanya.

BNM berkata nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan meningkat sedikit masing-masing kepada 1.85 peratus (Jun: 1.78 peratus) dan 1.2 peratus (Jun: 1.1 peratus).

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat iaitu 112.8 peratus daripada pinjaman terjejas dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman, kata BNM.

Setakat akhir bulan Julai 2022, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan sebanyak RM 41.1 bilion, katanya.

Selain itu, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.4 peratus pada bulan Julai (Jun: 3.4 peratus), seperti yang dijangka, peningkatan ini mencerminkan sebahagian besar kesan asas daripada diskaun tarif elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2021 yang menyumbang 0.5 mata asas kepada inflasi keseluruhan.

"Makanan dan minuman bukan alkohol juga memberikan tekanan selanjutnya kepada inflasi yang meningkat sebanyak 6.9 peratys pada bulan Julai.

"Inflasi teras juga meningkat kepada 3.4 peratus pada bulan Julai (Jun: 3.0 peratus). Peningkatan ini mencerminkan sebahagian besar harga yang lebih tinggi bagi barangan budi bicara seperti makanan di luar rumah (7.8 peratus). Perkara tersebut disebabkan oleh permintaan yang bertambah baik berikutan persekitaran kos yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 5:53 PM