GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

LANGKAH diperkenalkan kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka dapat menyokong isi rumah dan memberikan mereka bantuan kewangan sementara.

Bagaimanapun, tahap hutang isi rumah yang tinggi kekal menjadi sumber utama risiko makroekonomi dan seterusnya kepada kestabilan kewangan, kata BNM dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan (Separuh Kedua 2019) yang dikeluarkan di sini.

Pada masa hadapan, usaha memastikan pengambilan hutang secara berhemat, khususnya segmen paling mudah terjejas adalah penting untuk memelihara daya tahan kewangan isi rumah untuk jangka lebih panjang.

Menurut BNM, hutang isi rumah meningkat lebih pantas pada separuh kedua tahun lalu, didorong terutamaa oleh pinjaman untuk pembelian harta kediaman.

Permintaan untuk pinjaman harta kediaman pada tahun lalu diperkukuhkan oleh Kempen Pemilikan Rumah yang dilancarkan kerajaan.

Pembiayaan peribadi dan pinjaman kad kredit mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi dan ini sebahagian besarnya berikutan pemberi pinjaman oleh institusi kewangan pembangunan kepada penjawat awam.

Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) secara keseluruhannya meningkat sedikit kepada 82.7 peratus pada akhir tahun lalu berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan.

Nisbah ini secara relatif kekal tinggi berbanding negara serantau yang setara.

Bagaimanapun, keupayaan isi rumah untuk membayar balik hutang secara keseluruhannya terus disokong oleh peningkatan pendapatan serta penampan kewangan yang mencukupi.

Secara agregat, aset kewangan dan aset kewangan mudah tunai terkumpul isi rumah pada amnya kekal stabil, masing-masing pada 2.2 kali dan 1.4 kali daripada hutang.

Aset kewangan isi rumah terus mengatasi kadar pertumbuhan hutang buat tahun ketiga berturut-turut.

Dalam tahun kebelakangan ini juga, pelaburan isi rumah dalam dana unit amanah, termasuk dana harga berubah, meningkat dengan ketara berbanding dengan pertubuhan yang lebih perlahan dalam deposit isi rumah.

Peningkatan ini mencerminkan usaha untuk mendapatkan kadar hasil pelaburan yang lebih tinggi, kata BNM.

Secara keseluruhan, pinjaman terjejas isi rumah terus didorong pinjaman harta kediaman yang sudah meningkat dengan nyata dalam beberapa suku tahun kebelakangan ini meskipun daripada asas yang rendah.

Peminjam yang berpendapatan tidak tetap mencakupi sebahagian besar daripada peningkatan pinjaman perumahan terjejas baru-baru ini, justeru mencerminkan pendapatan bagi kelompok peminjam makin tidak menentu.-Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 7:20 AM