Antara model keluaran Thamlev.
Antara model keluaran Thamlev.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia bakal menjadi pangkalan pembuatan Thamlev USA Ltd di Asia Tenggara bagi pengeluaran basikal elektrik syarikat tersebut di luar dari Amerika Syarikat (AS).

Tapak baharu itu akan mengembangkan kapasiti pembuatan sedia ada Thamlev dan membantu meningkatkan profil dan pembangunan sektor kenderaan elektrik di Malaysia.

Jumlah pelaburan bagi projek kenderaan elektrik ringan itu bernilai RM100 juta dan pelaburan modal syarikat tersebut bakal mentransformasikan Malaysia menjadi hab kenderaan elektrik ringan seperti eMoped, eMotorcycle dan eMicrocar serta mewujudkan kira-kira 750 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata pengembangan Thamlev ke Malaysia itu adalah sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) negara yang disasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan kenderaan elektrik, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan.

Dikenal pasti sebagai sektor utama di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional, Malaysia komited memacu pertumbuhan kenderaan elektrik dan keseluruhan ekosistemnya yang seterusnya akan membantu meningkatkan landskap kenderaan elektrik menjadi lebih kompetitif di Asia Tenggara.

"Kerajaan Malaysia akan berusaha membangunkan persekitaran kondusif bagi pemain industri asing dan domestik untuk menjalankan perniagaan berikutan keupayaan negara untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan rakan kongsi teknologi yang berkebolehan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thamlev Mobility Sdn Bhd Kelvin Tham berkata dengan penyelidikan dan pembangunan canggihnya syarikat itu komited untuk memacu sektor pembuatan Malaysia terutamanya dalam sektor kenderaan elektrik ringan dengan produk berkualiti paling tinggi.

"Thamlev berada di kedudukan kelima dari segi jualan tahunan dengan 4,000 unit terjual di AS pada 2022. Kami berharap dapat mengembangkan operasi kami di seluruh AS, Eropah dan rantau ASEAN dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Pada Disember 2021, Thamlev memeterai memorandum perjanjian dengan NanoMalaysia, agensi pengkomersialan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hyundai Kefico Corp bagi pembangunan ekosistem mikro-mobiliti kenderaan elektrik bernilai US$30 juta (RM141.3 juta).

Penerimagunaan ekosistem mikro-mobiliti kenderaan elektrik akan menjadi pemangkin bagi syarikat tersebut untuk terus berkembang maju dalam segmen kenderaan elektrik ringan, sejajar dengn revolusi teknologi global.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan Curo Co Ltd, Hyundai Electric and Energy Systems Co Ltd, Daegu Mechatronics and Materials Institute dan Signet EV untuk membentuk konsortium stesen swap bateri di Malaysia.

MIDA telah memuluskan 25 projek bernilai RM10.69 bilion dalam sektor kenderaan elektrik dan ekosistem berkaitannya dari 2020 hingga Jun 2022. Pelaburan yang diluluskan itu termasuklah pemasangan kenderaan elektrik dan pembuatan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan elektrik dan komponen pengecasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 4:25 PM