Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) optimis pelaburan syarikat Bumiputera mampu mencatatkan RM3 bilion tahun ini dengan peningkatan 10 peratus setiap tahun bersandarkan perkembangan penyertaan dalam beberapa sektor kukuh di pasaran tempatan.

Setakat Januari hingga Julai lalu, pelaburan syarikat Bumiputera mencatatkan RM2.1 bilion bersamaan pelaksanaan 52 projek diluluskan oleh MIDA.

Pengarah Eksekutif Kanan, Perancangan Strategik dan Ekosistem Pelaburan MIDA, Datuk Wan Hashim Wan Jusoh berkata, sektor pelaburan Bumiputera diluluskan pihaknya merangkumi minyak dan gas, aeroangkasa, elektronik termaju dan automotif.

Beliau berkata, perkembangan positif Bumiputera yang menyumbang kepada tarikan pelaburan langsung domestik (DDI) amat memberangsangkan dan insentif kerajaan antaranya pengenalan Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) membantu merangsang penyertaan golongan berkenaan dalam sektor pelaburan.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai ini, MIDA meluluskan 498 projek perkilangan dengan nilai pelaburan RM53.2 bilion dengan 42 peratus atau RM22.4 bilion disumbangkan DDI.

“Dalam prospek tarikan pelaburan keseluruhan tahun ini, ia lebih positif dari tahun lalu memandangkan nilai diluluskan setakat September lalu melebihi rekod tahun lalu iaitu RM53 bilion. Namun, angka sebenar akan diumumkan pada masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Seminar Pembangunan Pelaburan Tempatan di sini, semalam.

Seminar anjuran MIDA dengan kerjasama Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) itu membabitkan 150 peserta untuk menggalakkan dan meningkatkan landskap pelaburan tempatan membabitkan penyertaan Bumiputera.

Wan Hashim berkata, dari segi pembabitan Bumiputera dalam DISF setakat September lalu, MIDA sudah meluluskan 29 projek berjumlah RM127.5 juta yang terbabit dalam pelbagai sektor antaranya solar dan elektrik serta elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:11 AM