NOR Shamsiah menunjukkan Laporan Prestasi Ekonomi Suku Kedua 2018, semalam.
NOR Shamsiah menunjukkan Laporan Prestasi Ekonomi Suku Kedua 2018, semalam.
Mahanum Abdul Aziz dan Amir Hisyam Rasid

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia berkembang perlahan 4.5 peratus pada suku kedua 2018, lebih rendah daripada dijangkakan pasaran berikutan gangguan bekalan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, pertumbuhan pada suku itu terjejas oleh pengurangan pengeluaran gas asli dan minyak sawit mentah (MSM) serta getah.

Namun begitu, beliau berkata, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Sektor perkhidmatan dipacu pertumbuhan sub sektor perdagangan borong dan runcit sementara perkilangan disokong pertumbuhan berterusan dalam elektrik dan elektronik (E&E) serta produk berkaitan pengguna,” katanya pada sidang media pertama beliau selepas pelantikan pada Jun lalu.

Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan pada suku kedua disokong perbelanjaan sektor swasta berikutan sentimen pengguna dan perniagaan yang positif serta persekitaran pasaran buruh yang baik.

Beliau berkata, penggunaan swasta berkembang kukuh sebanyak 8.0 peratus disokong pertumbuhan pendapatan berterusan dan sentimen yang lebih baik.

Namun begitu, pertumbuhan eksport komoditi yang lemah dan penguncupan dalam perbelanjaan pembangunan berikutan perubahan kerajaan menjejaskan pertumbuhan dalam suku berkenaan, katanya.

Nor Shamsiah berkata, akaun semasa Malaysia mencatatkan lebihan RM3.9 bilion dan dijangka terus mencatatkan lebihan pada masa depan berikutan permintaan global yang berterusan dan sokongan daripada eksport komoditi.

Mengenai inflasi, beliau berkata, inflasi keseluruhan berkurangan kepada 1.3 peratus pada suku kedua tahun ini berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang mengimbangi inflasi bahan api yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 1:33 AM