PERMINTAAN luaran yang kukuh terhadap produk E&E serta komoditi di Malaysia akan menyumbang kepada pengembangan dalam sektor berorentasikan eksport.
PERMINTAAN luaran yang kukuh terhadap produk E&E serta komoditi di Malaysia akan menyumbang kepada pengembangan dalam sektor berorentasikan eksport.

EKONOMI Malaysia dijangka berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus tahun ini, disokong oleh pengembangan berterusan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang tinggi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, Malaysia berkedudukan baik untuk mencatatkan peningkatan susulan pemulihan dalam pertumbuhan global dan perdagangan seperti yang dilihat pada 2021.

Permintaan luaran yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi terutamanya dari rakan dagangan utama negara termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi serantau lain, akan menyumbang kepada pengembangan dalam sektor berorentasikan eksport, katanya kepada pemberita menerusi temu bual secara e-mel.

"Apa yang penting, peningkatan dalam keseluruhan pendapatan, situasi pekerjaan dan sentimen pengguna akan memberi rangsangan kepada perbelanjaan isi rumah," katanya sambil menambah bank pusat akan mengumumkan penilaian ekonomi terkininya pada Mac.

Nor Shamsiah berkata, kesinambungan projek pelaburan penting dalam sektor ekonomi utama seperti dalam pembuatan E&E dan pelaburan digital akan meningkatkan lagi pertumbuhan.

Bagaimanapun katanya, risiko kepada prospek bagi 2022 masih kekal yang disebabkan oleh pertumbuhan global lebih lemah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang memburuk dan kemunculan varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya, katanya.

Sementara itu, beliau berkata, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2022 apabila kesan asas daripada inflasi bahan api mereda, manakala inflasi teras dijangka menyederhana dengan peningkatan tekanan dikekang oleh prestasi ekonomi dan pasaran buruh yang perlahan.

"Keseluruhannya, prospek inflasi terus bergantung kepada perkembangan harga komoditi global dan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berterusan," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Nor Shamsiah berkata, bank-bank Malaysia mengambil usaha untuk menyepadukan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tadbir urus, strategi perniagaan, operasi dan pengurusan risiko mereka.

Beliau menjelaskan kejadian banjir, baru-baru ini, jelas menunjukkan dan memberi peringatan akan keperluan untuk memberi penekanan serius kepada agenda kemampanan.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, sektor kewangan sudah meningkatkan usaha untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang terkesan akibat banjir, bukan hanya sekadar menyediakan bantuan pembayaran semula tetapi juga mengetepikan yuran dan caj untuk menggantikan dokumen bank yang hilang atau rosak.

Sebarang bentuk bantuan akan membabitkan kos, katanya, namun ia dapat diuruskan kerana pendedahan berkaitan banjir dijangka sederhana dan industri perbankan juga sedikit demi sedikit meningkatkan paras peruntukan sejak 2020 bagi menyediakan penampan kepada impak negatif daripada pandemik.

Dengan faktor-faktor ini, bank pusat tidak menjangkakan lonjakan mendadak dalam kos kredit dan ini akan membendung sebarang impak ketara ke atas pendapatan bank-bank.
- Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 7:01 AM