SEKTOR perladangan  banyak bergantung kepada pekerja Indonesia bagi tujuan pungutan buah sawit.
SEKTOR perladangan banyak bergantung kepada pekerja Indonesia bagi tujuan pungutan buah sawit.

KEPUTUSAN Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia memberi impak paling ketara terhadap sektor perladangan yang banyak bergantung kepada tenaga kerja itu bagi tujuan pungutan buah sawit.

Malah, kesan itu lebih besar memandangkan pekerja terbabit diperlukan bagi tempoh kemuncak pengeluaran bulan akan datang, demikian menurut CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

"Pembekuan (pengambilan pekerja asing) menyaksikan unjuran pengeluaran minyak sawit bagi separuh kedua 2022 turun ke paras lebih rendah berbanding setahun lepas.

"Isu kekurangan pekerja serta kenaikan kos (gaji minimum dan harga baja) serta kemerosotan harga minyak sawit mentah (MSM) adalah perkara negatif bagi pendapatan suku kedua 2022 serta berisiko mengurangkan perolehan hasil peladang Malaysia," katanya dalam nota tinjauan, semalam.

Menurut Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, Indonesia negara sumber pekerja asing penting menyumbang 35 peratus pekerja asing dan 70 peratus tenaga pembantu rumah di Malaysia.

CGS-CIMB berkata, Malaysia dilaporkan mengalami masalah kekurangan tenaga kerja ketara membabitkan masing-masing industri pembuatan (627,000 pekerja), perladangan (120,000) dan pembinaan (550,000).

"Secara keseluruhannya, kami melihat laporan mengenai tindakan terbaharu Indonesia itu sebagai berisiko menurunkan pendapatan korporat," katanya.

Baru-baru ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, negara itu menghentikan sementara semua proses berkaitan penghantaran pekerja warganegaranya ke Malaysia atas alasan pelanggaran dalam perjanjian persefahaman dimeterai kedua-dua negara pada 1 April 2022.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengesahkan kementerian itu menerima surat rasmi pihak berkuasa Indonesia mengenai langkah pembekuan dan beliau membincangkan perkara itu dengan Kementerian Dalam Negeri.

Namun, CGS-CIMB berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainudin sebaliknya enggan membesarkan keputusan Indonesia itu dan berkata, Malaysia sedia mengambil pekerja dari negara lain termasuk Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:01 AM